Rabu, 10 September 2014

Tahan Ustaz Wan Ji, Kerajaan Umno-BN makin kejam

WAN_JI_WAN_HUSIN_030214_TMINAJJUA_05_540_360_100
 
Roketkini.com

 
 
KUALA LUMPUR: Pemuda DAP (DAPSY) hari ini mengecam keras penahanan di bawah Akta Hasutan 1948 yang dikenakan terhadap pendakwah bebas Ustaz Wan Ji Wan Hussin.

Ketua Pemuda DAP Teo Kok Seong berkata, penangkapan Wan Ji jelas telah memberi mesej salah terhadap amalan demokrasi negara yang kononnya menjunjung tinggi undang-undang dan memelihara hak rakyat untuk bersuara serta meluahkan pendapat.

“Kami sangat terkejut dengan penahanan beliau awal pagi tadi di Shah Alam.

“Apakah penggunaan Akta Hasutan ini bertujuan untuk menakutkan rakyat yang menggunakan haknya untuk bersuara dan memberi pandangan tentang kebejatan pemerintah?

“Pemuda DAP akan terus bersama rakyat dan NGO untuk terus membantah undang-undang ini, sekaligus menghapuskannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rasah menegaskan, Pemuda DAP turut akan bersama rakan-rakan lain berusaha membantu Ustaz Wan Ji dalam apa jua aspek termasuk bantuan guaman dalam kes ini.

Pada 6 September lalu, aktivis pelajar Safwan Anang telah dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara, atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Kerajaan BN kini dilihat semakin agresif menggunakan Akta Hasutan meskipun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 2012 memberikan komitmen untuk memansuhkan akta berkenaan.

Pertubuhan hak asasi antarabangsa, Amnesty International Malaysia (AIM) melihat pendakwaan di bawah akta berkenaan kepada lawan politik sebagai tanda ‘iklim penindasan’ di Malaysia.

Beberapa pemimpin politik dari Pakatan Rakyat (PR) seperti RSN Rayer (DAP),m Rafizi Ramli dan N Surendran (PKR) dan Khalid Samad (PAS) juga dikenakan tindakan di bawah akta berkenaan.

Antara yang turut didakwa menggunakan akta sama sejak dua tahun lalu termasuklah Teresa Kok (DAP), Tian Chua (PKR), dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (PAS).

Turut dikenakan tindakan di bawah akta itu adalah ahli akademik Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Azmi Sharom dan wartawan portal Malaysiakini Susan Loone. -Roketkini.com

Tiada ulasan: