Jamal (dua kanan) bersama tiga pemandu kereta sewa/teksi mewakili ahli-ahli yang lain menunjukkan beberapa dokumen mengenai pekeliling kadar tambang yang dicadangkan kepada SPAD dan kadar tambang digunakan sekarang. Jamal (dua kanan) bersama tiga pemandu kereta sewa/teksi mewakili ahli-ahli yang lain menunjukkan beberapa dokumen mengenai pekeliling kadar tambang yang dicadangkan kepada SPAD dan kadar tambang digunakan sekarang.
 
 
 
KUANTAN – Persatuan pemilik permit dan pemandu teksi/kereta sewa Kuantan tidak berpuas hati dengan sikap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang didakwa melayan ahli-ahli persatuan seperti penjenayah.

Dalam tempoh seminggu, beberapa pemandu kereta sewa ditahan dan dikenakan saman serta beberapa dokumen penting juga disita.

Pengerusi Persatuan, Jamal Suhaili berkata, perkara utama yang dibangkitkan anggota SPAD ialah mengenai masalah tambang sedangkan mereka sendiri menjalankan tugas tanpa mengikut Prosedur operasi standard (SOP) yang betul.

Menurutnya, ahli-ahlinya ditahan kerana didakwa mengenakan tambang mahal sedangkan SPAD sendiri tidak pernah mengeluarkan kadar tambang untuk digunakan.

“Mereka menahan pemandu kereta sewa seperti samseng iaitu melakukan penyamaran sebagai penumpang dan kemudiannya kenderaan diekori menggunakan siren serta menyerbu.
“Tindakan itu dilakukan secara terbuka membuatkan ahli-ahli kami rasa terhina dan dokumen-dokumen penting turut disita.

“SPAD menjalankan operasi mengenai tambang sedangkan kadar yang kami gunakan sudah bertahun digunakan sebelum kewujudan suruhanjaya itu.

“Mereka mahu kami menggunakan kadar tambang ditetapkan oleh Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) sedangkan LPKP sudah tidak ada sejak kewujudan SPAD.

“Mereka mahu kami mengikut kadar tambang LPKP tetapi saman atau kompaun dikenakan adalah mengikut kadar SPAD.

“Peraturan dan tindakan mereka itu jelas menampakkan perkara tidak adil serta tambang yang kami kenakan ini adalah di atas persetujuan persatuan serta penumpang sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, pihaknya beberapa kali mengeluarkan usul atau cadangan mengenai kadar tambang dan perkara itu sudah dibincangkan bersama SPAD tetapi sehingga kini tiada tindakan lanjut diambil.

“Semakan semula kadar tambang teksi sudah dijalankan pada 12 November 2013 di SPAD Terengganu tetapi sehingga kini mereka gagal mengeluarkan kadar tambang sebenar.

“Jika mereka tidak mengeluarkan pekeliling kadar tambang, bagaimana SPAD boleh bertindak mengenakan tindakan terhadap pemandu kereta sewa atau teksi.

“Terdapat kira-kira 100 pemandu di bawah persatuan ini yang tidak bersetuju dengan tindakan SPAD dan ini tidak termasuk beberapa lagi persatuan lain di daerah ini,” katanya.

Pemandu kereta sewa, Abdul Aziz Abd Rashid, 54 berkata, dia antara pemandu kereta sewa yang ditahan dan diarahkan ke cawangan SPAD Terengganu untuk siasatan lanjut.

“Dua anggota SPAD menyamar sebagai pelajar untuk ke Kolej Shahputra dan saya maklumkan harga tambangnya RM15 serta mereka bersetuju.

“Sampai di pertengahan jalan mereka memohon tambang dikurangkan tetapi saya tidak bersetuju.

“Selepas itu tiba-tiba ada kereta SPAD mengekori dari belakang dengan memasang siren dan empat anggota menyerbu saya.

“Beberapa dokumen penting saya disita termasuk permit kenderaan, lesen pengendali kenderaan, kad pemandu dan wang tunai RM15 tetapi wang dikembalikan semula dengan mengganti dengan wang lain.

“Mereka mengarahkan saya ke SPAD Terengganu sedangkan di Kuantan ada pejabat SPAD dan kenapa tidak diselesaikan di sini sahaja.

“Ia hanya merugikan saya dan segala kos perlu ditanggung sendiri serta perkara ini memang tidak relevan,” katanya.

Pengurus Penguatkuasa SPAD Wilayah Timur, Leftenan Kolonel (B) Mohd Yusof Nordin berkata, isu layanan seperti samseng sepatutnya tidak timbul memandangkan semua anggota penguat kuasa SPAD adalah terlatih dan apa yang dilakukan mengikut prosedur ditetapkan.

Katanya, sekiranya tidak ada pihak yang tidak berpuas hati dengan layanan anggota penguat kuasa ketika melakukan operasi mereka dialukan untuk membuat aduan.

“Sekiranya mereka rasa dilayan mengikut cara tidak sepatutnya, mereka boleh membuat aduan terus kepada SPAD sendiri.

“Selain itu, aduan atau laporan kepada pihak polis juga boleh dibuat sekiranya timbul perkara atau isu tidak puas hati.

“SPAD menjalankan tanggungjawab mengikut yang sewajarnya dan tidak berniat untuk menganiaya serta operasi juga dilakukan jika ada aduan pengguna.

“Sebenarnya jika dari destinasi A ke B , anggota kami membuat penyamaran dan akan buat pemeriksaan terus di situ serta tiada yang dikejar.

“Sekiranya pemandu sampai dahulu kita akan susuli kemudian tetapi tiada bunyi siren diaktifkan kecuali jika kenderaan diparkir di tepi jalan lampu amaran akan dinyalakan sebagai tanda amaran kepada orang awam.

“Mengenai pemandu yang disaman dan perlu hadir ke cawangan Terengganu kerana kami tidak mempunyai kakitangan yang cukup serta Ibu Pejabat SPAD Wilayah Timur adalah di Terengganu.
“Apa yang pasti SPAD tidak berniat menganiayai sesiapa dan hanya menjalankan tugas demi kepentingan semua pihak,” katanya.

Bagaimanapun, isu mengenai kadar tambang perlu mendapatkan maklum balas di peringkat atasan dan akan dijawab kemudian.