Selasa, 23 September 2014

Sokongan pengundi kepada Wan Rosdi makin terserlah

SALMAH MAT HUSAIN 


TUMPAT: Prestasi pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan memberi keyakinan rakyat di Dun Pengkalan Kubor untuk memilih calon Pakatan Rakyat daripada PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim.

Penasihat Jentera Operasi PAS Pilihan Raya Dun Pengkalan Kubor, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata pihaknya opitimis pengundi akan memilih calon PAS berikutan prestasi tugas Wan Rosdi sebagai Penyelia Dun sejak dua penggal lalu dikenali rakyat.

“Sokongan untuk pengundi memilihnya pada PRK 25 September ini semakin menyerlah, insya Allah.

“Pengundi pelbagai keturunan mengakui memang mengenali calon kita yang sering menjaga kebajikan rakyat, turun ke bawah menyantuni mereka serta menyelesaikan masalah yang dihadapi,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

Beliau berkata, pentingnya wakil rakyat dipilih dari pihak kerajaan negeri bagi menyelenggarakan program masyarakat khususnya yang berkaitan majlis-majlis daerah.

Menurutnya, perbincangan dan perundingan begitu perlu untuk mempertingkatkan tahap kebersihan, ekonomi rakyat di Dun berkenaan.

Tuduhan liar

Mengenai dakwaan pihak tertentu terhadap parti rakan Pakatan Rakyat khususnya PKR yang didakwa cuba mensabotaj Wan Rosdi, beliau menyifatkannya sebagai tuduhan liar.

Beliau berkata, ia satu tuduhan yang tidak bertanggungjawab memandangkan PKR bukan sahaja hadir bermesyuarat bersama-sama, sebaliknya petugas mereka turun ke bawah bersama dengan petugas PAS.

Katanya, sewaktu Muktamar PAS sedang berlangsung di Batu Pahat, Johor minggu lepas, petugas PKR bersama petugas PAS di Pengkalan Kubor bekerja keras berkempen bersama-sama.

“Malah setiap hari juga kami mengadakan mesyuarat bersama sebelum jam 10.00 pagi untuk bertukar-tukar maklumat dan padangan,” ujarnya.

Untuk itu, Takiyuddin memberi amaran agar tidak ada lagi tuduhan liar seperti itu. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: