PRK Pengkalan Kubor
 
 

TUMPAT - Polis meminta semua calon dan wakilnya memohon permit ceramah  lebih awal sepanjang tempoh berkempen PRK Dun Pengkalan Kubor.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Asisten Komisioner, Mohd Dahlan Noor berkata, permohonan tersebut boleh dibuat pada hari yang sama dengan ceramah.

Menurutnya, permohonan awal adalah bagi memudahkan pihak berkuasa menjalankan pemantauan termasuk keselamatan orang ramai.

"Kami mendapati jarak tempat berceramah antara parti bertanding adalah kira-kira 100 hingga 150 meter sahaja dan ia berada di tepi jalan raya," katanya kepada media sebentar tadi di Pejabat Polis Marin Pengkalan Kubor.

Mohd Dahlan berkata, kegagalan memohon permit berceramah boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Kita boleh membuka kertas siasatan dan mengesyorkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk siasatan selanjutnya,"katanya.

Tambahnya, bagi melancarkan proses  berkempen polis akan memudahkan urusan kelulusan permit walaupun ia dipohon di saat akhir.

"Asalkan pohon permit. Sebab kita mahu elak berlaku pertindihan ceramah antara calon mahupun wakil mereka kerana pembesar suara yang digunakan boleh mengganggu ketenteraman awam memandangkan jarak lokasi adalah dekat," katanya.

Beliau berkata, sehingga hari ini terdapat enam permohonan dikemukakan iaitu satu daripada Pas dan lima (Umno).

"Masing-masing semalam satu ceramah sudah diadakan dan pagi ini Umno sudah memohon empat permit berceramah," katanya.

Pada masa sama, Mohd Dahlan berkata, sepanjang PRK Dun Pengkalan Kubor, seramai 841 anggota ditugaskan bagi mengawal keselamatan di kawasan ini.

Mengulas mengenai proses penamaan calon yang berlangsung semalam, Mohd Dahlan memberitahu ia berjalan secara lancar tanpa kejadian jenayah.

Malah beliau turut menafikan terdapat perarakan kumpulan yang dikaitkan dengan desakan memansuhkan Akta Hasutan yang membawa patung pocong.

"Sepanjang pemantau polis ia tidak berlaku. Penamaan calon semalam bersih," katanya.