PRK Pengkalan Kubor
 
 
 
SHAH ALAM - PKR telah memutuskan untuk memberi laluan kepada calon Pas bertanding di kerusi Dun Pengkalan Kubor pada 25 September ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, keputusan itu dicapai selepas pihaknya dalam memastikan kerjasama dan muafakat PR berterusan.

"Untuk berhadapan dengan Umno-BN secara berkesan, keutuhan dan kesepakatan dalam PR perlu dipertahankan agar kita bersatu menentang parti itu.

"Saya percaya ini hanya dapat dicapai melalui tolak ansur, saling memahami dan berjiwa besar dan kita perlu kembali kepada hasrat rakyat agar PR terus menumpukan usaha menggembleng semula tenaga rakyat berhadapan Umno-BN," katanya dalam satu kenyataan medianya, hari ini.

Ahad lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, PKR Kelantan bersetuju memberi laluan kepada Pas bagi mengambil alih kerusi Dun Pengkalan Kubor untuk ditandingi oleh calon Pas, 25 September ini.

Beliau berkata, perkara itu dipersetujui bersama pihak Pas Kelantan dan PKR Kelantan dalam satu perbincangan yang diadakan, baru-baru ini.

Kerusi Dun N01 Pengkalan Kubor kosong selepas penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar meninggal dunia akibat kanser pada 20 Ogos lalu.

Allahyarham yang juga Timbalan Pengerusi Umno Kelantan meninggal dunia di Ghuangzhou, ketika mendapatkan rawatan.

Pada PRU13 lalu, Noor Zahidi menang dengan majoriti 1,763 undi walaupun pilihan raya itu berdepan dengan pertandingan tiga penjuru dengan calon PKR, Shahrun Ibrahim dan calon Bebas, Izat Bukhary.