Khalid Ibrahim Khalid Ibrahim
SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberitahu, perjanjian penstrukturan semula konsesi air di negeri ini akan dimuktamadkan hujung minggu ini.

Menurut Abdul Khalid, perjanjian itu merangkumi semua perbincangan membabitkan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

"Perbincangan itu bukan lagi membincangkan mengenai strategi, tetapi perkataan yang terkandung di dalamnya serta dipersetujui semua pihak," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Forum Partnership Environmental Management for the Seas of East Asia (PEMSEA) di Sepang, hari ini.

Difahamkan, selepas perjanjian itu dimuktamadkan tiada sebarang perubahan dapat dibuat walaupun berlaku pertukaran jawatan menteri besar.

Terdahulu, Selangor dan Pusat akhirnya bersetuju untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani kedua-duanya berhubung penstrukturan semula industri perkhidmatan air di negeri ini.

Perjanjian itu kemudiannya menimbulkan pertikaian di kalangan pemimpin pembangkang terhadap Abdul Khalid.