Selasa, 9 September 2014

Pengurus hotel didakwa menyamar 'unit risikan khas'

MALAYSIAKINI


 


Seorang pengurus hotel hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Melaka atas kesalahan menyamar sebagai penjawat awam dengan jawatan 'Unit Risikan Khas' Kementerian Dalam Negeri, Bahagian Keselamatan Negara, bulan lepas.
  
Mohd Shamsul Azreen Atan, 30, didakwa melakukan penyamaran itu untuk melepaskan seorang rakannya dengan menunjukkan dokumen berbentuk kad kepada pegawai Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah.
  
Tertuduh melakukan kesalahan itu di Pusat Hiburan Hitz Club, Jalan Melaka Raya 8, Taman Melaka Raya di sini pada 3 pagi, 30 Ogos lepas.
  
Dia didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
  
Majistret Mohd Firdaus Saleh membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 15 Oktober untuk sebutan semula dan pengurusan kes.
  
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashraf Abd Hamid manakala tertuduh diwakili peguam Faiezad Razali.-Bernama

Tiada ulasan: