Selasa, 16 September 2014

Peluang kenal PAS secara lebih rapat - Aminolhuda

HARAKAHDAILY






KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Aminolhuda Hassan bagi  berbesar hati menjemput dan mengalu-alukan Mursyidul Am dan Ahli Majlis Syura, Presiden dan AJK PAS Pusat, semua pimpinan PAS dan pimpinan Pakatan Rakyat serta rakan-rakan ke Muktamar Tahunan PAS ke-60 yang akan berlangsung di Parit Salleh Ros, Parit Raja, Batu Pahat mulai 18 hingga 20 September ini.

Beliau yang mewakili PAS negeri berkata, inilah julung-julung kalinya Muktamar PAS Pusat diadakan di Johor.

"Kepada masyarakat umum khususnya di Johor, saya mengalu-alukan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan untuk mengenal PAS secara lebih rapat dengan melihat pameran dan menyertai pelbagai acara menarik dalam Karnival Rakyat yang akan turut diadakan sepanjang tempoh tersebut," tulisnya menerusi facebook PAS negeri, kelmarin.

Mengenai jadual karnival sempena muktamar tersebut, katanya ia akan dimaklumkan kemudian.

"Marilah kita sama-sama menjayakan muktamar PAS pada kali ini. Islam rahmat kepada seluruh alam. PAS untuk semua. Sudi-sudikanlah," ujarnya lagi.

Sebelum itu, Muktamar Dewan Ulamak diadakan di Kulai, Dewan Pemuda di Dewan Chun Moi, Kota Tinggi dan Dewan Muslimat di Pulai Spring Resort.

Untuk perasmian bagi Dewan Pemuda akan berlangsung pada petang 16 September, manakala Dewan Muslimat pada sebelah malam hari yang sama. Dewan Ulamak pula akan mula berlangsung pada 17 September. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: