Musa Hitam Musa Hitam
 
 
 
KUALA LUMPUR - Pelan penstrukturan semula yang radikal untuk memulihkan MAS mestilah berani, inovatif dan berfikir di luar kaedah biasa, kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam.
  
"Saya harap demi negara, kali ini kita belajar daripada kesilapan masa lalu dan melakukannya dengan betul. Cabaran yang paling besar ialah untuk melakukannya dengan betul.

"Ia melibatkan kesabaran, toleransi dan mendapat maklum balas yang betul," kata Musa pada sidang akhbar di sini hari ini.
  
Musa berkata, perkara yang paling penting sekarang ini ialah untuk sentiasa ingat bahawa ia melibatkan kebanggaan negara.
  
"Anda tidak boleh mengelakkannya dan hanya dapat ditegakkan dengan idea-idea baharu," katanya.
  
Beliau berkata adalah penting untuk menganggap syarikat penerbangan nasional itu sebagai cadangan perniagaan, bukan sebagai cadangan untuk memenuhi sentimen.
  
"Ia perlu dalam konteks wang ringgit. Jika tidak boleh,  perlu ditutup.

"OK jika anda menjalankan sebuah pertubuhan kebajikan, tetapi ini tidak.

"MAS adalah sebuah entiti perniagaan, mulakan dari sana," kata Musa.
   
Musa juga menegaskan bahawa kesatuan perlu terlibat secara intensif dalam proses berkenaan.
  
Walaupun agak terkejut dengan pengumuman yang begitu cepat itu, Musa berkata, beliau berharap apa yang akan dilakukan, akan benar-benar sesuatu yang baik.
  
"Saya bimbang tentang perkara-perkara seperti itu. Kerana saya tidak akan membuat pengumuman mengenai isu penting seperti ini melainkan telah dikaji secara mendalam, dihujah dan mendapat maklum balas," katanya. - Bernama