Samsudin menunjukkan parang digunakan perompak tersebut yang ditinggalkan dan sofa tempat anak saudaranya diserang ketika sedang tidur. Samsudin menunjukkan parang digunakan perompak tersebut yang ditinggalkan dan sofa  tempat anak saudaranya diserang ketika sedang tidur.

ROMPIN – “Kami tidak melawan... terpaksa menurut segala arahan penyamun yang bersenjatakan parang itu kerana jika ingkar, mereka ugut untuk pecahkan muka kami”.

Demikian kata seorang penduduk Kampung Sabak, Albiah Nala Muhammad, 53, yang trauma selepas rumahnya dipecah masuk tiga lelaki bertopeng yang melarikan wang tunai, komputer riba, telefon bimbit dan sebuah kereta jenis Proton Waja.

Albiah Nala yang bekerja sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Leban Chondong, dekat sini berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5 pagi semalam ketika dia bersama suaminya, Samsudin Ibrahim, 59, sedang tidur di dalam bilik manakala seorang anak saudara lelakinya, Samsuddin Mohamad Azimi, 34, pula tidur di ruang tamu.

“Saya tersedar dari tidur kira-kira jam 5 pagi tadi (semalam) selepas terdengar suara seperti orang sedang bergelut dan pelik kerana bunyi televisyen kuat berbanding biasa.

“Dek kerana curiga, saya bertindak keluar bilik untuk melihat apa yang sedang berlaku namun apabila pintu bilik dibuka, seorang penyamun terus menerkam dan mengacukan parang ke leher saya dan suruh saya duduk diam dalam bilik,” katanya.

Katanya, penyamun itu kemudian bertindak mengikat mereka bertiga dan dikumpulkan dalam sebuah bilik sebelum menggeledah seluruh rumah mengambil barang-barang berharga.

“Suami dan anak saudara saya diikat di bahagian kaki serta tangan selain diselubung dengan kain.

“Anak saudara saya turut diikat di bahagian mulut dan ditetak dengan belakang parang menyebabkan dia luka di belakang tapak tangan serta bengkak di siku.

“Selepas kesemua penyamun itu keluar dari rumah dan melarikan diri dengan menaiki Proton Waja milik saya, kami berjaya membuka ikatan sendiri dan terus menghubungi polis,”  katanya.

Dalam pada itu, Samsuddin yang ditemui di Hospital Rompin menyatakan dia hanya mengalami cedera ringan.

Menurut Samsuddin, pada pagi kejadian itu, dia tidur jam 4.30 pagi di ruang tamu selepas selesai menonton televisyen.

“Kurang setengah jam terlelap, tiba-tiba saya tersedar apabila seorang perompak bertindak mengambil bantal peluk dan menutup muka saya manakala dua lagi memegang kaki serta tangan saya.

“Mungkin kerana saya banyak cakap ketika itu, mereka kemudian menetak saya dengan belakang parang namun saya cuba halang dengan keadaan tangan yang terikat bagi menyelamatkan diri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya yang dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati dua daripada suspek adalah lelaki warga tempatan manakala seorang lagi lelaki warga Indonesia.

“Ketiga-tiga suspek yang memakai topeng itu dipercayai masuk ke kediaman mangsa menggunakan pintu hadapan dengan mengumpil pintu gelangsar.

“Jumlah kerugian masih dalam siasatan dan orang ramai diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Rompin di talian 094145999 jika terdapat sebarang maklumat,” katanya.