Isnin, 8 September 2014

PAS Selangor nasihati PKR dan DAP agar tidak ingkar titah Sultan Selangor

ANTARAPOS.COM


Post Pic



PETALING JAYA: PAS Selangor hari ini menasihati pemimpin PKR dan DAP agar tidak lagi ingkar pada titah Sultan Selangor bersabit kemelut peralihan kuasa di Selangor.

Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman menyeru kedua-dua sekutu Pakatan Rakyat itu mengemukakan lebih daripada dua nama calon untuk dilantik menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu.
 
PKR dan DAP sebelum ini berdegil dan hanya mengemukakan nama Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon pengganti Tan Sri Khalid Ibrahim.
 
"PAS Selangor mohon rakan-rakan kita agar akur kepada titah tuanku sultan kerana kita tidak akan ke mana-mana apabila menentang institusi raja.
 
"Cukup la... (berikan sahaja tiga nama) mari kita fikir pula masalah kebajikan rakyat yang dah lama tergendala," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
 
Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kemurkaan Sultan Sharafuddin terhadap PKR dan DAP yang mengingkari titah baginda yang mahukan setiap parti komponen PKR mengemukakan lebih daripada dua calon kepada baginda.
 
Mengulas lanjut Mohd Khairuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras berharap krisis membabitkan penukaran menteri besar dapat diselesaikan segera demi kepentingan rakyat.
 
"PAS Selangor ingin menzahirkan rasa sedih dan dukacita atas kemurkaan Baginda Tuanku Sultan Selangor atas kejadian yang berlaku.
 
"Kita yakin kemelut ini boleh diselesaikan dan kita harap ia diselesaikan segera. Lagi lama kemelut ini berlaku.. maka lagi susah rakyat kita," katanya.

Tiada ulasan: