MALAYSIAKINI
Kewibawaan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah sebagai calon pengganti
menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim terus dipertikaikan
pemimpin PAS.
Kali ini giliran Timbalan Ketua Muslimat PAS Wilayah Persekutuan Dr
Rosni Adam pula membangkitkan kepimpinan Azizah ketika dilantik ketua
pembangkang selepas pilihan raya umum 2008.
Rosni berkata, PAS ketika itu menyokong Azizah dan tidak timbul isu
gender tetapi isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu didakwa hanya mampu
bertahan kurang enam bulan sebelum meletakkan jawatan pada 28 Ogos.
“Apa jua alasan beliau ketika itu, rakyat telah hilang kepercayaan dan
tidak dapat melihat keseriusan beliau sebagai pemimpin dan ahli politik
dalam melaksanakan amanah pengundi yang mengundi beliau enam bulan
sebelumnya,” katanya.
Dua pemimpin kanan PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (presiden) dan Datuk
Haron Din (timbalan mursyidul am) sebelum ini telah menjelaskan Azizah
ditolak kerana isu kelayakan.
Dalam kenyataannya hari ini, Rosni juga membangkitkan prestasi Azizah
selepas terpilih sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang
pada awal tahun ini.
“PAS khuatir jika prestasi sedemikian diteruskan, dan rakyat akan terus
mempertikaikan kemampuan Pakatan melahirkan wakil rakyat dan MB yang
berkaliber,” katanya lagi.
Rosni juga mendakwa PKR tidak pernah membuka ruang kepada pemimpin PAS
membahaskan setiap calon yang ingin dicadangkan sebagai menteri besar
sebelum ia diputuskan sebelum ini.
Muslimat PAS Wilayah Persekutuan juga berkata, sayap wanita ketiga-tiga
parti dalam Pakatan harus berbincang mencari penyelesaian dan
mengelakkan sengketa dengan istana dan bukan saling mengkritik dan
“memfitnah”.
Kenyataan Rosni itu dikeluarkan sebagai reaksi terhadap dakwaan Wanita
DAP bahawa perangai Hadi dalam isu itu memecah belahkan PAS dan Pakatan
Rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan