UPSR Bocor UPSR Bocor
 
 
 
GENTING HIGHLANDS - Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyifatkan isu kebocoran soalan kertas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sebagai satu perkara memalukan di sebalik negara dilihat mempunyai sistem pendidikan antara terbaik di dunia.
  
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan kesal perkara seperti itu masih berlaku walaupun sistem pendidikan yang teratur telah diwujudkan oleh kementerian sejak sekian lama.
  
"Ini memang sesuatu yang boleh saya katakan memalukan, perkara seperti itu masih berlaku," katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Tritahunan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan(KPPK) ke-20, di sebuah hotel, di sini, hari ini.
  
Rabu lepas, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) mengumumkan peperiksaan UPSR bagi mata pelajaran Sains 018, 028, 038 yang dijadualkan pada Khamis ditangguhkan berikutan kebocoran kertas peperiksaan dikesan sehari sebelum itu.
  
Keesokannya, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh pula berkata kertas UPSR mata pelajaran Bahasa Inggeris 1 dan 2 juga bocor, dikesan setelah pelajar menduduki kertas tersebut dan kerajaan menetapkan 30 Sept sebagai tarikh baharu bagi peperiksaan kedua-dua kertas itu.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin berkata intipati mesyuarat khas isu UPSR  yang dipengerusikannya di Putrajaya pagi tadi akan diumum dalam masa terdekat.
  
"Sebentar tadi kita baru selesai mesyuarat khas, banyak perkara yang kita bincangkan, saya tak perlu umumkan dahulu," katanya.
  
Bagaimanapun, beliau menarik perhatian mesyuarat itu membincangkan antaranya langkah bagi memperkukuh sistem pendidikan dan proses peperiksaan awam serta inisiatif baharu bagi memastikan integriti LPM, kementerian dan jabatan perguruan dihormati dan disegani.
  
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata beliau menyambut baik saranan presiden KPPK dalam ucapannya, supaya budaya mengharapkan kepada soalan bocor tidak diamalkan lagi.
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin menerima dengan terbuka tawaran khidmat konsultasi KPPK secara percuma kepada Kementerian Pendidikan.
  
"Mungkin pakar-pakar pendidikan dari KPPK ini yang telah lama berkhidmat dalam pendidikan ini dapat kita manfaatkan pengalaman mereka. Oleh sebab itu apa-apa inisiatif yang kita lakukan, InsyaAllah kita akan menjemput semua, ataupun wakil daripada KPPK," katanya.
  
Muhyiddin turut merakam penghargaan dan tahniah kepada KPPK kerana menjadi kesatuan sekerja terbesar di Malaysia dengan keanggotaan 180,000 guru, selain turut menarik perhatian bahawa kesatuan guru yang kukuh akan menjadi aset kepada pembangunan pendidikan.
  
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri menyempurnakan penyampaian Anugerah Keahlian Kehormat KPPK yang diberikan setiap tiga tahun kepada empat penerima.
  
Mereka ialah bekas pengerusi KPPK Kelantan Kamarudin Ibrahim; bekas penolong setiausaha agung KPPK CNN Sivaraman dan dua bekas Exco KPPK Malaysia Choong Sen Min dan Phoon Chong Chee.
  
Persidangan tritahunan KPPK bermula semalam dan akan berakhir Rabu ini. - Bernama