mh17
 
 
 
SHAH ALAM - Dua jenazah mangsa pesawat malang MH17, Tambi Jiee dan Benjamin Lee Jian Han akan tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 8.30 pagi esok.

Kedua-dua jenazah akan mengikuti istiadat penghormatan sama seperti kumpulan sebelum ini.

Jenazah Tambi Jiee kemudiannya akan diterbangkan ke Kuching menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) C130 sementara Benjamin Lee dibawa ke Pusat Xiao En Bereavement di Jalan Kuari, Cheras.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam kenyataan hari ini berkata, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan hadir pada majlis istiadat berkenaan.

Untuk rekod, kepulangan dua lagi rakyat Malaysia esok menjadikan jumlah mangsa yang berjaya dibawa pulang ke Malaysia setakat ini ialah 35 orang termasuk seorang penumpang yang memiliki dua kerakyatan (Loh Yan Hwa) dan dua warga Belanda.

Penerbangan MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur bersama 283 penumpang dan 15 anak kapal.