Sabtu, 13 September 2014

MAS memiliki ‘lubuk’ bernilai RM6 bilion

Oleh Doreen Leong

 
KUALA LUMPUR: Walaupun ramai penganalisis memberi nasihat kepada pemegang saham minoriti Malaysian Airline System Bhd (MAS) untuk menerima tawaran RM1.4 bilion daripada Khazanah Nasional Bhd, sesetengah pihak mencadangkan mereka perlu meminta lebih, kerana syarikat penerbangan itu memiliki aset tanah dan harta lain yang mungkin bernilai sehingga RM6 bilion.

Sementara menunggu laporan daripada penasihat bebas, AmInvestment Bank Bhd, pemegang saham minoriti mungkin telah mendapat tawaran yang yang rendah, kerana MAS duduk di atas simpanan tanah yang besar dan berharga, dan aset yang berpotensi meningkatkan nilai buku bersihnya, yang berjumlah RM12. 91 bilion pada 31 Disember 2013.

Walaupun harga tawaran 27 sen adalah melebihi aset bersih MAS bagi seunit saham sebanyak 19 sen sehingga 30 Jun, hakikatnya ialah aset-aset ini adalah berdasarkan kepada nilai buku dan tidak dinilai semula.

RHB Research menasihati pemegang saham minoriti untuk menerima harga tawaran untuk mengelakkan saham mereka cair lagi, dan mereka berpeluang untuk melabur semula MAS sebaik sahaja ia kembali untuk penyenaraian semula, yang disasarkan dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

Walau bagaimanapun, soalan yang penting ialah sama ada pemegang saham minoriti, terutamanya pelabur lama, harus menerima tawaran Khazanah yang kononnya rendah, walaupun dengan meminta lebih banyak, mereka boleh menghadapi pencairan lanjut dalam pegangan mereka. Badan pelaburan kerajaan itu telah menyatakan bahawa untuk menjalankan pelan penstrukturan semula, ia perlu mengambil alih kawalan penuh syarikat penerbangan yang dilanda masalah itu dan menswastakannya.

Sebagai cabang pelaburan kerajaan, Khazanah perlu menerajui dalam memastikan pemegang saham minoriti lama MAS diberi ganjaran yang setimpal. Walaupun harga saham mungkin tidak akan dapat mencapai paras tertinggi sebelum ini, Khazanah harus mempertimbangkan membayar harga yang lebih baik untuk mengambil alih MAS, disebabkan aset-asenya yang berharga.

"Pemusnahan nilai sebanyak RM10 bilion dalam tempoh 10 tahun yang lalu bukannya berpunca dari pemegang saham minoriti yang telah mengekalkan saham mereka dan mengambil bahagian dalam banyak isu-isu hak. Sebaliknya, pihak pengurusan yang telah menggagalkan syarikat itu. Tawaran itu perlu adil," kata seorang pemegang saham.

Malah ahli perniagaan, Tan Sri Ananda Krishnan turut membayar nilai premium yang adil, 22.9% apabila beliau membuat tawaran sebanyak RM4.20 bagi setiap unit saham, untuk menswastakan Astro pada tahun 2010. Harga tawaran itu adalah hampir dengan harga penyenaraiannya pada bulan Oktober 2003, RM4.06.

Untuk menswastakan MAS, Khazanah memerlukan penerimaan 100% dan barulah Akta MAS akan ditubuhkan. Khazanah, yang mempunyai kepentingan 69.4% dalam MAS, telah mengemukakan cadangan untuk menswastakan MAS dan menarik balik penyenaraiannya pada akhir tahun.

Suatu undang-undang baru yang dinamakan Rang Undang-Undang MAS akan dibentangkan di Parlimen sebelum Julai tahun depan, bagi memudahkan penghijrahan operasi MAS yang sedia ada ke dalam sebuah syarikat baru (Newco), yang akan mengambil alih operasi syarikat penerbangan itu pada 1 Julai tahun depan.

Khazanah tidak boleh mengundi dalam mesyuarat agung tergemparnya, memandangkan ia adalah pihak yang berkepentingan, dan pemegang saham institusi memiliki hanya kurang daripada 4% dalam MAS.

Sekiranya langkah penswastaan ​​gagal, tidak akan ada apa-apa suntikan modal baru dari Khazanah dan syarikat penerbangan itu mungkin akan diisytiharkan bankrap, yang mungkin bukan suatu idea yang buruk, walaupun kes-kes bankrap boleh menjadi panjang.

Langkah bankrap bukan satu-satunya pilihan yang dimiliki, kerana terdapatnya rancangan pembubaran secara sukarela (MVL).

FocusM melaporkan pada awal bulan Ogos bahawa Khazanah telah mempertimbangkan MVL, yang merupakan pembubaran syarikat yang masih mampu membayar hutang, di mana pengarah-pengarahnya perlu menyatakan pendapat bahawa syarikat itu akan dapat membayar hutangnya secara penuh dalam tempoh 12 bulan dari permulaan penutupan.

Pada asasnya, tidak kira apa, aset syarikat penerbangan itu masih boleh dijual pada harga pasaran dan berpotensi mendapatkan lebih dana daripada yang diperlukan untuk memulihkan syarikat itu. 

Lagipun, Khazanah agak yakin dapat memulihkan syarikat penerbangan itu dalam tiga hingga lima tahun, dengan pelaburan sebanyak RM6 bilion.

Pada masa ini, satu langkah di bawah pelan pemulihan MAS adalah untuk menyatukan ibu pejabatnya dengan memindahkan ibu pejabat dan operasinya dari Subang ke KLIA.

RHB Research berkata langkah itu akan menjimatkan kos logistik dan meningkatkan keadaan kerja bagi keseluruhan pekerjanya. Ini juga boleh membuka jalan untuk MAS menjual simpanan tanahnya di Subang.

Kompleks pejabat MAS di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, yang terletak di atas sebidang tanah persekutuan berkeluasan 42.9 hektar, mungkin bernilai lebih daripada nilai buku bersihnya, RM199.41 juta. 32 buah bangunan pejabat dan bengkel yang membentuk kompleks pejabat MAS berusia dari 15 hingga 42 tahun.

Walaupun kompleks pejabat MAS itu adalah salah sebuah bangunan yang telah dilupuskan pada tahun 2002 di bawah sebuah langkah pelupusan aset yang dilakukan bagi mengumpul RM6.1 bil, ia masih disenaraikan sebagai hartanah MAS dalam laporan tahunannya bagi tahun 2013.

Tiada ulasan: