SHAH ALAM - Seorang daripada 12 pegawai kastam yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam operasi khas 3 September lalu, dilepaskan tanpa syarat, hari ini.

Bagaimanapun, Mahkamah Majistret Petaling Jaya memerintahkan empat daripada mereka dilanjutkan reman selama sehari, enam selama tujuh hari lagi manakala seorang lagi dilanjutkan kepada enam hari bermula esok, bagi membantu siasatan.

Mereka antara 22 individu yang ditahan SPRM dalam operasi khas di Lembah Klang 3 September lalu kerana disyaki terbabit dalam aktiviti rasuah berkaitan penyeludupan arak dan rokok.

Turut ditahan dalam operasi itu termasuk 10 pemilik syarikat, ejen dan pemandu lori.

Sementara itu, seorang lagi pegawai kastam yang baru ditahan semalam direman selama enam hari mulai hari ini menjadikan jumlah keseluruhan pegawai yang ditahan kekal 12 orang.

Kesemua suspek berusia di antara 35 hingga 58 tahun itu disiasat di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan Akta Penggubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2010.

Dua daripada mereka bergelar Datuk, yang mana salah seorang daripadanya adalah pengarah negeri.