Selasa, 9 September 2014

Kes piket: 8 lagi anggota RUM dibuang kerja

MALAYSIAKINI


 


Presiden Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu (RUM)  Abdul Razak Abdul Hamid berkata, seramai lapan orang lagi anggotanya dikenakan tindakan penyingkiran oleh majikan mereka hari ini.

Seramai 15 orang lagi digantung tugas berkuat kuasa hari ini oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) atas penglibatan mereka dalam piket 9 Mei, katanya.

“Seramai 110 orang menerima notis tunjuk sebab,” katanya lagi ketika dihubungi Malaysiakini.

Jumlah 110 orang itu sebelum ini dibimbangi akan turut disingkirkan oleh KTMB, apabila mereka berjaya dikesan oleh majikan sebagai peserta piket 9 Mei.

RUM akan mendedahkan maklumat lanjut berhubung perkembangan tersebut dalam satu sidang media pada 11 September di Kuala Lumpur, katanya.

Tindakan KTMB itu antara lainnya mendapat kecaman oleh NGO yang bersolidariti dengan RUM, Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT).

Menurut NGO hak asasi itu, tindakan itu tidak sepatutnya dilakukan kerana Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu (RUM) mengemukakan “tuntutan yang sah demi kebaikan organisasi dan masa depan pekerja”.

“Adalah tidak wajar bagi pihak majikan, iaitu KTMB membuang pimpinan dan melanggar semangat keharmonian industri.

“Maka, kami JERIT bersolidariti dengan pimpinan kesatuan dan keseluruhan (anggota RUM) dan mengecam tindakan KTMB,” menurut JERIT dalam kenyataan hari ini.

NGO tersebut berpendapat bahawa piket anjuran RUM pada 9 Mei itu dijalankan dengan mengikut undang-undang.

Tindakan KTMB itu bermula dengan pemecatan Abdul Razak dan timbalan presiden RUM, R Subramaniam pada 29 Ogos lalu.

Seterusnya, seramai tiga orang pekerja KTMB diberhentikan kerja tanpa notis pada hari Jumaat lalu.

Piket yang disertai ratusan anggota RUM itu bagi mendesak presiden KTMB Datuk Elias Kadir melepaskan jawatan kerana didakwa menunjukkan prestasi yang kurang cemerlang sepanjang perkhidmatannya.

Tiada ulasan: