Selasa, 9 September 2014

Jawatan MB Selangor: DAP sedia kemuka calon selain Wan Azizah?

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
PETALING JAYA: DAP hari ini membayangkan kesediaan menamakan calon tambahan kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk jawatan Menteri Besar Selangor sebagaimana yang dititahkan oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah. 
 
Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng memohon maaf kepada baginda dan berkata beliau akan membincangkan semula isu senarai nama calon MB dengan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim. 
 
Lim berkata keputusan untuk hanya mengemukakan nama Wan Azizah sebelum ini diambil selepas perbincangan dengan Anwar. 
 
"Kami memahami bahawa keputusan (menghantar satu nama) berdasarkan amalan sebelum ini dalam pelantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai MB dan juga akuan bersumpan 30 daripada 56 ADUN Selangor menyokong Wan Azizah," kata Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang. 
 
Lim berkata DAP tetap setia dan mendokong kepada institusi raja dan parti itu akan mengadakan perbincangan dengan Anwar mengenai titah Sultan Sharafuddin. 
 
Kenyataan Lim itu menyusul 24 jam selepas Istana Selangor menyifatkan DAP dan PKR biadap kerana hanya mencalonkan Wan Azizah sungguhpun Sultan Sharafuddin menitahkan supaya lebih dua nama dicalonkan. 
 
"Tindakan DAP dan PKR ini menggambarkan kebiadapan kepada institusi raja dan merupakan satu perbuatan derhaka kepada titah Sultan Selangor," kata kenyataan Istana Selangor.  
 
Kerusi MB kosong selepas Sultan Sharafuddin menerima peletakan jawatan Khalid berikutan pemecatannya daripada PKR bulan lalu. 
 
Khalid akan terus menyandang jawatan itu sehingga baginda melantik calon dari kalangan ADUN Pakatan Rakyat sebagai pengganti.

Tiada ulasan: