Selasa, 23 September 2014

Hadi ucap tahniah pelantikan Azmin

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KUALA TERENGGANU: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengucapkan tahniah kepada Muhamed Azmin Ali atas pelantikannya sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.
 
Abdul Hadi turut mengingatkan supaya beliau menjalankan amanah yang dipikul dengan sebaik-baiknya dan tidak boleh disalahgunakan.
 
"Jadi kita harap supaya Azmin dapat jalankan tugas dengan penuh amanah dan tidak menyalahgunakan kuasa dan harta Selangor," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
 
Sementara itu, di Tumpat, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, PAS menyifatkan pelantikan Azmin sebagai penamat kepada segala masalah dan kemelut membelenggu Pakatan Rakyat berkenaan jawatan itu sebelum ini.
 
Katanya, parti itu juga mengalu-alukan pelantikan Mohamed Azmin untuk menerajui kerajaan negeri selaras dengan perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
 
Katanya, tidak ada lagi perkara berbangkit daripada parti itu berhubung pelantikan Mohamed Azmin termasuk keperluan untuk PAS mengadakan semula mesyuarat.
 
"Dalam PAS apa saja yang diputuskan oleh istana, kita setuju. Semuanya (sayap PAS) termasuk Dewan Ulama setuju.
 
"Sebelum ini, mesyuarat kita pada 17 Ogos lalu pun sudah bersetuju dua nama dipertimbangkan iaitu Mohamed Azmin dan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, jadi tidak ada keperluan untuk itu (adakan mesyuarat)," katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Markas Besar PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pengkalan Kubor, di sini.
 
Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula meminta semua pihak mematuhi perkenan baginda Sultan Selangor berkenaan pelantikan itu serta mengharapkan Mohamed Azmin dapat menerajui kerajaan negeri dengan jayanya.
 
Menyentuh mengenai tindakan kepada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS Selangor yang sebelum ini menyokong Wan Azizah, Mustafa berkata jawatankuasa disiplin parti itu masih lagi menyiasat dan beliau sendiri akan memanggil kedua-duanya dalam masa terdekat.
 
"Setakat ini memang tak ada apa-apa tindakan lagi, lepas ini saya akan panggil. Lambat, cepat ini atas persepsi orang saja," katanya menjawab soalan media berkenaan kelewatan jawatankuasa disiplin parti itu mengambil tindakan ke atas dua ADUN itu.

Tiada ulasan: