Hadi Awang  
Hadi Awang



KUALA TERENGGANU - Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengucapkan tahniah kepada anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa Mohamed Azmin Ali atas pelantikan beliau sebagai menteri besar Selangor yang baharu.

Beliau berkata, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR kini harus memikul amanah yang diberikan Sultan Selangor dan rakyat Selangor kerana pelantikan ini juga menyelesaikan isu pengganti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Tahniah kepada Azmin yang telah dilantik sebagai menteri besar Selangor dan kemelut politik di Selangor dapat diselesaikan dengan baik," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu di sini hari ini.

Katanya Pas akan kekal dalam pakatan rakyat di Selangor dan tidak pun terkilan dengan penolakan calon daripada Pas untuk jawatan itu kerana dari awal lagi Pas tidak mahukan jawatan tersebut.

Berkenaan dengan majoriti dalam pakatan rakyat, yang dikatakan mahu Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menjadi menteri besar sebelum ini, beliau berkata kedudukan Sultan Selangor adalah lebih tinggi dalam menentukan siapa yang layak.

Sementara itu Menteri Besar Terengganu Datuk Razif Abdul Rahman dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dun ke-13, berkata beliau mengucapkan tahniah atas pelantikan Mohamed Azmin dan berharap menteri besar baharu itu dapat meneruskan fokus dalam membela nasib rakyat di Selangor.

Mohamed Azmin, 50, mengangkat sumpah jawatan menteri besar Selangor ke-15 di hadapan Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang pada 10.42 pagi ini.

Beliau mengambil alih jawatan menteri besar Selangor daripada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang memegang jawatan itu lebih enam tahun bermula 2008. - Bernama