Selasa, 9 September 2014

Forum PasMA jadi medan hentam Hadi, tolak kerjasama

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Rasa tidak puas hati terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung kemelut jawatan Menteri Besar Selangor dan prestasi kepimpinannya diluahkan pada forum pertama anjuran Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang diadakan malam tadi.
 
Ada peserta yang menuduh prestasi PAS semakin merudum berikutan kegagalan pemimpin itu menyelesaikan isu-isu berbangkit termasuk kemelut jawatan nombor satu di Selangor itu.
 
Malah, ahli panelnya Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa turut diajukan apakah Hadi patut menerima tindakan kerana menentang keputusan parti dalam soal pelantikan Menteri Besar Selangor.
 
Mujahid juga menegaskan, biarpun PAS kini berselisih pendapat dengan PKR dan DAP berhubung isu itu, ia terus komited dengan kerjasama bersama Pakatan Rakyat dan tidak sesekali membuka jalan ke arah kerajaan perpaduan dengan Umno-Barisan Nasional (BN).
 
"PAS nak bersama dengan Umno, anda boleh mengandaikan apa yang anda ingin andaikan. Saya tidak boleh menyekat anda mengandai demikian.
 
"Saya mahu beritahu pada malam ini di depan kamera dan wartawan. Jangan misquote (salah tulis) saya. PAS tidak ada apa-apa hasrat ataupun niat untuk bersama dengan Umno,” katanya di forum yang bertajuk PAS Campur Umno: Ke Mana Hala Tuju itu.
 
Forum itu turut menampilkan Presiden PasMa Datuk Phahrolrazi Zawawi dan pakar Perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari sebagai ahli panel.
 
Kata AJK PAS Pusat itu lagi, sesiapa sahaja di dalam parti, termasuk pemimpinnya berhak ditegur, malah menurutnya Hadi juga manusia biasa dan tidak dianggap maksum oleh parti Islam berkenaan.
 
“Kami orang PAS dididik dengan satu hadis Nabi Muhammad, ‘ketaatan manusia sesama manusia adalah ketaatan yang tidak mutlak manakala ketaatan kepada Allah dan rasul itu adalah mutlak’,” ujarnya.
 
Di dalam forum itu juga, Mujahid turut memberi amaran keras kepada ahli-ahli parti Islam itu untuk tidak membawa 'suara musuh' yakni Umno dalam usaha memecahbelahkan PAS.
 
"Saya tidak menafikan bahawa hari ini Umno menggunakan taktik untuk memecahbelahkan PAS. Saya menyatakan PAS berdiri teguh menentang usaha untuk merosakkan PAS dari dalam.
 
"Pengalaman dan sejarah PAS, siapa yang merosakkan PAS atau menjadi agen yang terkinja-kinja (untuk) bersama Umno, mereka akan mengakhiri karier (politik) dalam PAS," kata Ahli Parlimen Parit Buntar itu.

Tiada ulasan: