PRK Pengkalan Kubor
 
 
 
KOTA BHARU - Pas Kelantan akan mengumumkan calonnya bagi PRK Dun Pengkalan Kubor, esok, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Yakub.

Beliau berkata, buat masa ini, Pas sedang membuat penelitian akhir senarai calon bagi PRK itu yang akan diadakan 25 September ini.

"Apa yang pasti, calon itu adalah anak tempatan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Ahmad yang juga Pesuruhjaya Pas Kelantan berkata, parti itu akan mengumumkan calon itu bersama-sama pimpinan parti PR di Pengkalan Kubor, Tumpat.

Beliau berkata PRK itu dijangka sengit memandangkan Pas mahu merampas semula kerusi itu daripada BN.

Namun, beliau memberi jaminan proses itu akan berlangsung dalam suasana aman dan saling menghormati.

PRK Dun Pengkalan Kubor diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Noor Zahidi Omar, 57, dari BN akibat kanser hati pada 20 Ogos lepas.

Pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

Sementara itu, Ahmad berkata kemelut PKR Selangor tidak memberi kesan kepada PR di Kelantan, yang disifatkan masih kukuh. - Bernama