Isnin, 15 September 2014

Ahli perniagaan hadapi tuduhan ceroboh DUN PP

MALAYSIAKINI


Seorang ahli perniagaan yang juga bekas ketua Pemuda Umno Cawangan Kampung Rawana di George Town mengaku tidak bersalah atas tuduhan menceroboh masuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Mei lepas.
  
Wan Norazman Ariffin, 41, didakwa menceroboh masuk DUN Pulau Pinang dengan niat hendak menggusarkan orang yang memiliki harta itu iaitu Setiausaha DUN Pulau Pinang M. Maheswari pada 1.30 tengah hari, 21 Mei lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.
  
Majistret L. Umma Devi menetapkan 29 September ini untuk sebutan semula kes dan tertuduh dibenarkan diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.
  
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Talib berkata tertuduh adalah tangkapan baru berhubung kes menceroboh DUN Pulau Pinang pada Mei lepas.
  
Oleh itu, beliau memohon agar tertuduh dibicarakan bersama-sama 15 lagi individu yang telah dihadapkan ke mahkamah pada 19 Jun lepas bagi pertuduhan sama, pada 29 September ini.
  
Wan Norazman diwakili tiga peguam bela Rosli Ismail, Yusnita Yusof dan Norhardi Haron.
  
Lima belas tertuduh berkenaan ialah Datuk Mohd Ridzwan Bakar, 54, Hisham Ahmad Sabri, 43, Afriz Mohd Noor, 36, Rosesarwandi Saad@Yaacob, 33, Mohd Rizuad Mohd Azudin, 37, Hisham Abdul Hamid, 38, Mohd Nashrol Hisham  Abdullah, 38, Azmeal Abu Bakar, 42, Mohamad Yusmadi Mohad Yusof, 34, Mohd Hilmie Ibrahim, 37, Jasmin Noordin, 40, Nordin Wahab, 41, Mohamed Ghani Abd Jiman, 48, Wan Abidin Zain, 51  dan Mohamed Ibrahim A.Siahoo, 31. - Bernama

Tiada ulasan: