Ahad, 4 Mei 2014

Wartawan Terkorban Ketika Bertugas Wajar Diberi Penghormatan - Pengamal Media

MSTAR ONLINE



Chuensuksawadi. Foto BERNAMA


SHAH ALAM: Wartawan yang terkorban ketika menjalankan tugas wajar diberi penghormatan di atas sumbangan dan pengorbanan mereka terhadap masyarakat dan negara, kata seorang pengamal media Thailand.

Ketua Pengarang Bangkok Post, Pichai Chuensuksawadi berkata, sudah terbukti  wartawan mempertaruhkan atau kehilangan nyawa ketika bertugas untuk mendedahkan salah laku dan ketidakadilan dalam masyarakat tempat mereka berkhidmat.

"Bagi saya secara peribadi, perkara paling penting sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia hari ini ialah untuk memberi penghormatan kepada wartawan terbabit yang kehilangan nyawa kerana melaksanakan tugas mereka demi mencari kebenaran.

"Nyawa wartawan melayang kerana mereka memegang prinsip yang turut dihargai oleh kita semua," katanya dalam ucap tama pada forum bertajuk 'Memupuk Kebebasan Bersuara' (Kebebasan Media Bagi Masa Depan Yang Lebih Baik: Membentuk Agenda Pembangunan Pasca 2015) bersempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia di Universiti Selangor (Unisel) di sini, Sabtu.

Turut hadir Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Yong Soo Heong.

Mengulas lanjut, Chuensuksawadi berkata, beliau sendiri mempertaruhkan nyawanya ketika berdepan serangan mortar semasa membuat liputan pertempuran sempadan antara tentera Myanmar dan pemberontak minoriti Karen di sepanjang sempadan Thailand-Myanmar.

"Sebagai pengarang, saya telah disoal siasat oleh Polis Cawangan Khas dan ditahan sehari di dalam lokap ketika menunggu untuk diikat jamin ketika berhadapan satu daripada beberapa kes fitnah jenayah yang difailkan terhadap saya.

"Tetapi pengalaman saya tidak seberapa jika dibandingkan dengan wartawan yang dibunuh kerana profesion mereka.

"Berapa ramai wartawan yang berkata mereka bersedia untuk meneruskan tugasan walaupun diancam keganasan dan kematian? Berapa banyak yang bersedia untuk membuat pengorbanan? Bagi saya, adalah sangat penting untuk memberi penghormatan kepada wartawan yang telah melakukan pengorbanan yang amat besar," katanya.

Beliau berkata, Hari Kebebasan Akhbar Sedunia diadakan sejak lebih 20 tahun lepas dan meskipun rayuan demi rayuan dibuat, operasi media di banyak negara masih lagi ditapis, didenda, digantung dan ditutup selain wartawan, pengarang dan penerbit diganggu, diserang dan ditahan.

Beliau berkata berdasarkan statistik, sejak 1992 sehingga sekarang, seramai 1,052 wartawan terkorban ketika menjalankan tugas di seluruh dunia.

Chuensuksawadi juga berkata kebangkitan dan penyebaran internet serta platform media sosial telah membenarkan orang ramai untuk menyebarkan maklumat dan menyatakan pandangan dan pendapat mereka dengan serta-merta.

Sementara itu, Yong, yang merupakan seorang daripada anggota panel pada forum itu, berkata rakyat terutama dari negara yang mempunyai masyarakat pelbagai kaum dan agama harus lebih matang untuk memahami isu-isu yang dibangkitkan oleh wartawan bagi memastikan kebebasan akhbar lebih besar di negara itu.

Beliau berkata, dengan menjadi lebih matang dan mendapat maklumat yang relevan, mereka boleh membuat keputusan bermaklumat.

Yong yang juga bekas Ketua Pengarang Bernama berkata, organisasi media perlu mempunyai lebih ramai penyelidik untuk membantu wartawan mengajukan soalan semasa sidang akhbar.

"Perlu ada anjakan paradigma dalam operasi media dengan mempunyai lebih banyak penyelidik yang boleh membantu wartawan media cetak dan penyiaran," katanya.

Tiada ulasan: