Isnin, 19 Mei 2014

Sosma langgar hak asasi manusia, Suaram buat aduan ke Suhakam

OLEH JAMILAH KAMARUDIN


Wakil Suaram Syukri Razab membaca memorandum di ofis Suhakam, Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Faisal Salehhuddin, 19 Mei, 2014. Wakil Suaram Syukri Razab membaca memorandum di ofis Suhakam, Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Faisal Salehhuddin,



Badan bukan kerajaan (NGO) Suara Rakyat Malaysia (Suaram) hari ini mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengenai Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) Sosma yang tidak memberikan hak kepada tahanan sebaliknya kuasa penuh diberikan kepada polis dan mahkamah.

Wakil Suaram Syukri Razab dalam aduan berkata, sehingga 28 April lalu, 11 orang ditahan mengikut Sosma dan dapat mengenal pasti tujuh tahanan yang ditempatkan di lokap Shah Alam dan Bukit Aman.

Enam daripadanya adalah lelaki berumur lingkungan 30 tahun ke bawah; seorang daripadanya golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), manakala seorang tahanan perempuan berusia 56 tahun.

Syukri berkata, kebanyakan keluarga tahanan Sosma tidak dimaklumkan mengenai sebab penahanan kerana percaya polis menggunakan Seksyen 4(1) Sosma yang memberi kuasa kepada polis untuk menahan tanpa waran.

Katanya, dalam borang alasan penangkapan yang diberikan pihak polis kepada keluarga juga tidak menyatakan secara jelas sebab tangkapan dibuat, dan rata-rata ahli keluarga hanya dapat bertemu tahanan selepas lapan hari mereka ditahan.

"Mengikut Seksyen 5(3) Sosma, polis hanya boleh menangguhkan akses tahanan untuk bertemu keluarga sehingga 48 jam bermula dari waktu seseorang itu ditahan.

"Namun apa yang berlaku polis bukan sahaja menangguhkan akses keluarga, bahkan tidak dibenarkan bertemu dengan keluarga sekiranya tidak mendapat kebenaran pegawai penyiasat (IO) walaupun selepas tempoh 48 jam," katanya ketika menyampaikan memorandum di pejabat Suhakam di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, semasa keluarga bertemu dengan tahanan, pegawai polis mengawasi pertemuan tersebut terlalu dekat menyebabkan sesi perbualan antara kedua pihak tidak selesa dan tersekat.
Katanya, bidang kuasa yang diberikan Sosma kepada pihak berkuasa terlalu luas sehingga memberi autoriti besar kepada polis menahan individu tanpa memerlukan sebab kukuh.

"Penahanan melebihi 10 hari tanpa akses kepada peguam boleh membuka ruang untuk polis melakukan siasatan yang melibatkan penderaan mental dan fizikal," katanya.

Katanya, perbicaraan Sosma juga berat sebelah apabila seksyen 14 Sosma memberi kebenaran kepada pendakwaraya untuk melindungi identiti saksi pendakwa daripada diketahui oleh tertuduh termasuk peguam bela, menyebabkan wujudnya kemungkinan saksi palsu yang diadakan bagi memberi kelebihan kepada pihak pendakwaraya.

Pesuruhjaya Suhakam James Nayagam di ofis Suhakam, Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Faisal Salehhuddin, 19 Mei, 2014.Pesuruhjaya Suhakam James Nayagam di ofis Suhakam, Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Faisal Salehhuddin.Selain itu, Suaram turut mempertikaikan kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam akhbar pada 2 Mei lalu bahawa polis mempunyai bukti kukuh untuk mensabitkan semua yang ditangkap dengan aktiviti militan.

"Sekiranya benar ada bukti kukuh, polis boleh menahan semua yang disyaki menggunakan Kanun Prosedur Jenayah dan segera mendakwa mereka di mahkamah," katanya.

Ekoran itu, Syukri menggesa agar Suhakam melakukan penelitian terhadap Sosma dan melakukan penarafan sama ada Sosma mematuhi prinsip hak asasi manusia.

Beliau juga mahu Suhakam menggesa polis supaya menghentikan siasatan dan tangkapan dibawah Sosma bagi memastikan tahanan mendaoat hak yang adil sepanjang proses siasatan dan perbicaraan.

"Suaram mendesak agar pihak kerajaan Malaysia memansuhkan Sosma atas dasar akta ini membelakangi prinsip dan bercanggah dengan hak asasi manusia yang dijamin dalam perlembagaan persekutuan," katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Suhakam James Nayagam dalam responnya memberi jaminan pihaknya akan segera menyiasat dan meneliti aduan tersebut termasuk mengadakan lawatan ke pusat tahanan melihat keadaan tahanan Sosma.

"Suhakam akan meneliti terlebih dahulu kes aduan sebelum melawat tahanan. Biasanya pihak polis dan penjara memberi kerjasama penuh kepada Suhakam.

"Kami akan memberi maklumbalas dan laporan semasa perkembangan tahanan kepada keluarga mangsa," katanya.

Tiada ulasan: