Isnin, 19 Mei 2014

Ridhuan Tee pertahan seminar anti Kristian di UiTM sebagai tindak balas terhadap Kristianisasi


OLEH HASBULLAH AWANG CHIK


Seminar “Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara” yang diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM)  baru-baru ini sememangnya perlu diadakan kerana usaha Kristianisasi merupakan realiti yang berlaku di negara ini, kata Dr Ridhuan Tee Abdullah (gambar).

Pensyarah kontroversi itu berkata apa yang berlangsung dalam seminar di UiTM itu tidak sehebat kecaman pihak gereja yang menyifatkan umat Islam melakukan penganiayaan dan kezaliman terhadap penganut Kristian.

“Lihatlah bagaimana mereka begitu menyerang UiTM. Sedangkan semua tahu seminar ini adalah tindak balas kepada proses Kristianisasi yang sengaja dilakukan. UiTM begitu bersikap telus daripada ultra kiasu yang baling batu sembunyi tangan.

“Kecaman yang dilakukan tidaklah sedahsyat ucapan paderi dalam sebuah gereja yang pernah saya dedahkan. Sayangnya umat Islam tidak pergi ke gereja melihat bagaimana mereka mengecam umat Islam.

“Kita dituduh akan melakukan penganiayaan dan kezaliman terhadap Kristian,” katanya menerusi kolum dalam Sinar Harian bertajuk “Musuh Sebenar di Depan Mata”.

The Malaysian Insider hari ini melaporkan pihak gereja di Indonesia mengesahkan salah seorang penceramah yang mendakwa bekas paderi Katolik yang memeluk Islam dalam seminar di UiTM itu tidak benar.

Insan L S Mokoginta memperkenalkan dirinya dalam ceramah itu sebagai bekas paderi Katolik yang memeluk agama Islam pada 1976 di hadapan 1,000 pelajar universiti itu.

Bagaimanapun, Setiausaha Eksekutif Persidangan Biskop Indonesia, Paderi Edy Purwanto mendedahkan beliau tidak mempunyai maklumat mengenai Mokoginta.

Ridhuan menerusi kolumnya itu menggesa umat Islam pergi sendiri ke gereja bagi memantau aktiviti keagamaan yang berlangsung di dalam rumah ibadat itu.

Katanya, guru sekolah juga perlu serius menangani gerakan Kristianisasi kerana undang-undang negara tidak membenarkan penyebaran agama lain kepada umat Islam.

“Kenapa laporan polis tidak dibuat? Kerana kita tidak tahu apa yang berlaku di gereja. Saya harap ada umat Islam yang boleh menyamar masuk ke gereja dan dengar apa yang dibincangkan.

“Saya memohon kepada guru sekolah agar memantau pelajar Islam yang terpengaruh dengan ajaran ini. Bukan kita takut dikristiankan tetapi undang-undang tidak membenarkan mereka melakukan sedemikian,” katanya yang menerima laporan ibu bapa bahawa usaha Kristianisasi juga berlaku di sekolah.

Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia itu berkata, hak umat Islam dan undang-undang berani diceroboh hari ini berlaku kerana ultra kiasu mengetahui orang Melayu sudah tidak mampu bertindak kerana takut kehilangan kuasa.

Katanya, tiada sebab bukan Islam membenci umat Islam di negara ini kerana mereka tidak dianiaya dan diberi kebebasan mencari rezeki.

“Saya amat hairan kenapa mereka begitu benci dengan Islam. Berikan saya contoh pernahkah negara Islam menganiaya bukan Islam? Rata-rata kita lihat umat Islam kerap menjadi mangsa di negara bukan Islam.

“Persoalannya, kenapa mereka begitu kuat menentang hukum Islam yang tidak ada kaitan dengan mereka langsung? Kenapa begitu benci dengan Islam, tetapi pada masa sama mengaut keuntungan daripada orang Islam?” katanya.

Seminar “Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara” itu diadakan pada 6 Mei lalu menampilkan beberapa penceramah yang memberi amaran kepada umat Islam mengenai ancaman Kristianisasi.
Beberapa laporan polis dibuat, di Selangor dan Sarawak. Jumaat lalu, polis merakamkan kenyataan dua pengadu dari Selangor.

Pengadu berpendapat seminar itu tidak lebih daripada sesi membelasah Kristian dan persoalan lanjut ialah mengapa universiti awam dibenarkan menganjurkan seminar seumpama itu di premis mereka.
Mereka berkata, tiada pakar Kristianiti dijemput menyertai seminar itu untuk mempertahankan agama Kristian.

Seminar itu dianjurkan bersama oleh Akademi Pengajian Islam Kontemporari UiTM, Warisan Ibnu Aaby dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dengan sokongan Utusan Malaysia, Kumpulan Karangkraf, TV Al-Hijrah, Zikay Group dan Kumpulan Pantai Bharu.

Tiada ulasan: