TELUK INTAN BN telah menamakan Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong sebagai calon BN untuk berdepan dengan calon muka baru DAP Dyana Sofya Mohd Daud dalam pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan 31 Mei ini.
Tempat pengumuman calon BN itu dibuat tidak jauh dari lokasi di mana DAP mengumumkan pencalonan Dyana tengahari tadi.
Anak tempatan, Mah memewakili Parlimen Teluk Intan antara tahun 1999 hingga 2008 sebelum tewas kepada calon DAP M Manogaran dalam pilihan raya umum 2008 dengan majoriti tipis.
Mah bertanding sekali lagi kerusi Parlimen itu dalam pilihan raya umum 2013, tetapi kali ini tewas kepada calon DAP Seah Leong Peng dengan majoriti 7,313 undi.
Kerusi Parlimen itu menjadi kosong selepas Seah meninggal dunia pada 1 Mei kerana menghidap kanser.
Pilihan raya kecil Teluk Intan menyaksikan pertembungan pemimpin politik veteran - Mah yang berusia 53 tahun - manakala muka baru dari DAP Dyana, 27, yang bertanding buat kali pertama.
Hari penamaan calon ditetapkan Isnin ini, manakala pengundian pada 31 Mei.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan