Isnin, 19 Mei 2014

Bekas sultanah Johor kemuka 7 alasan ketepi perceraian

THE MALAYSIAN INSIDER

 



































Bekas sultanah Johor Tuanku Zanariah Tunku Ahmad (gambar) menyenaraikan tujuh alasan kepada Mahkamah Rayuan Syariah untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Syariah Johor Bahru sebelum ini yang mengesahkan perceraian kontroversinya dengan almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail.

Portal Malaysiakini melaporkan, alasan-alasan itu dikemukakan oleh peguamnya Afshah Ariffin selepas Mahkamah Rayuan Syariah membenarkan Majlis Agama Islam Johor menjadi pencelah dalam saman itu.

Dalam alasan yang dikemukakan itu, tujuh alasan diberikan sekitar kekhilafan hakim perbicaraan, antaranya dalam isu “fatwa” yang mengesahkan perceraian itu pada Ogos tahun lalu.

Menurut Malaysiakini, alasan-alasan yang dikemukakan adalah:

1. Hakim terkhilaf daripada aspek undang-undang dan fakta apabila menyatakan hakim bicara Mahkamah Rendah Syariah membuat keputusan berdasarkan shahadah hisbah kerana rukun dan syaratnya tidak menepati hukum syarak.

2. Hakim terkhilaf apabila menafsirkan Seksyen 3 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Johor Bahru) memberi kuasa kepada mahkamah untuk mengecualikan apa-apa peruntukan dalamnya.

3. Hakim terkhilaf memutuskan hakim bicara mempunyai kuasa sedia ada dalam menjalankan prosiding kes saman tersebut.

4. Hakim terkhilaf apabila memutuskan hakim bicara mengecualikan pemakaian enakmen tatacara “demi menjaga kemuliaan institusi diraja Johor khususnya Sultan Iskandar”.

5. Hakim terkhilaf apabila memutuskan “fatwa” Jawatankuasa Fatwa Johor adalah “dokumen undang-undang” yang dibuat berdasar peruntukan Seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Johior.

6. Hakim terkhilaf apabila memutuskan fatwa tersebut mengikat mahkamah.

7. Hakim terkhilaf apabila memutuskan perayu gagal menunjukkan ada memohon untuk meminda atau membatalkan fatwa tersebut.

Tuanku Zanariah sebelum ini memfailkan permohonan ke Mahkamah Syariah untuk mengenepikan perintah sebelum ini bahawa bekas suaminya menceraikannya.

Beliau memohon untuk mengenepikan keputusan mahkamah beliau diceraikan pada 23 Januari 2009 dan rujuk seminggu kemudian.

Dalam afidavit menyokong permohonan yang difailkan itu, beliau mendakwa jabatan kerajaan Johor khasnya pejabat agama disalahgunakan untuk memalukan beliau dan Almarhum Sultan Iskandar.

Tiada ulasan: