Khamis, 28 November 2013

Walaupun suara serak, MB tetap jawab soalan Dewan

Oleh : NAZLI IBRAHIM
 
SHAH ALAM: Sekalipun hampir hilang suara dan bernada serak, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tetap menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari BN termasuk dari BN-Permatang, Sulaiman Abdul Razak.

pc khalid dun

 “Tidak boleh cakap panjang tetapi Insya Allah saya tetap akan jawab. Saya akan terangkan kelemahan sebelum ini ialah tidak meninjau kelemahan belanjawan secara total,” katanya menceriakan Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Memberi jawapan kepada soalan Sulaiman berkaitan rizab simpanan , beliau berkata, kerajaan negeri bercadang memberi latihan pengurusan kewangan kepada semua ADUN Selangor bagi meningkatkan keupayaan mereka mengawal kewangan.

Abdul Khalid yang juga ADUN (PKR-Pelabuhan Klang) berkata, latihan itu penting bagi memastikan dana rakyat dibelanja dengan betul dan lebih mudah untuk mengesan kesilapan dalam pengurusan kewangan.

Semalam, beliau mengambil masa hampir dua jam bagi membentang Belanjawan Selangor 2014 iaitu belanjawan keenam kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor.

Belanjawan yang dijadual selesai sebelum jam 1 tengah hari itu terpaksa dilanjutkan sehingga jam 1.30 tengah hari.

Abdul Khalid turut menjawab beberapa soalan berkenaan potfolionya dalam sesi soal jawab secara lisan, malah menjawabnya secara panjang lebar sekalipun mengalami sakit tekak.NFN FZL

Tiada ulasan: