Isnin, 4 November 2013

Tertekan dengan kritikan, Felda henti beli hotel

OLEH EILEEN NG




















Gergasi perladangan negara akan berhenti daripada melabur dalam sektor hospitaliti selepas menerima kritikan ekoran pembelian kompleks apartmen bernilai £98 juta (RM497 juta) di London, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim (gambar).

Beliau berkata, syarikat perladangan kelapa sawit itu kini hanya akan memberikan fokus kepada hotel milik mereka yang stabil dengan dua daripadanya terletak di dalam negara.

"Buat masa ini, Felda tidak merancang untuk membeli mana-mana hotel. Konglomerat itu hanya akan fokus kepada hotel sedia ada beroperasi," katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen minggu lepas.


 Felda kini memiliki tiga hotel - Hotel Seri Costa di Melaka dengan nilai belian berjumlah RM24 juta, Hotel Grand Borneo di Sabah bernilai RM86 juta, dan Apartment Service Plaza di Bayswater, London yang bernilai RM500 juta. Kesemuanya dibeli sejak setahun lalu.

Sejak 1990 menurut Razali, Felda melalui anak syarikatnya menguruskan enam kediaman di Perak, Terengganu, Johor, Pahang, dan Sabah.

The Malaysian Insider melaporkan berkenaan pembelian di London yang mengejutkan pemain industri dengan harga terlalu tinggi dibuat oleh Felda Investment Corp (FIC) UK Properties. Lokasi berkenaan adalah popular di kalangan rakyat Malaysia yang menetap di London.

Pengkritik berkata, Felda seharusnya melabur dalam bidang yang berkaitan kepakaran mereka iaitu pertanian berbanding hartanah mahupun pelancongan.

Menjelaskan pembelian tersebut, Razali berkata, Felda mahu bersaing dalam sektor pelancongan dalam dan luar negara sebagai usaha mengukuhkan perniagaan yang bukan menjadi teras mereka.

Sehubungan itu, syarikat berkenaan telah memilih Melaka dan Sabah untuk industri pelancongan sebelum melebarkan sayapnya ke United Kingdom, yang dirasakan mempunyai potensi.

Sebelum itu Razali menegaskan pelaburan di London akan membuahkan hasil, namun tidak memberi sebarang anggaran.

"Kos membeli apartment adalah £98 juta (RM502 juta), namun perkiraan atas kertas adalah £115 juta dan menurut kajian kami, lokasi tersebut akan membawa keuntungan kerana kadar sewaan sebanyak 90% setiap bulan.

"Pelaburan adalah peluang untuk anak syarikat, namun saya tidak dapat menjawab sama ada pelaburan berkenaan akan memberikan keuntungan atau capex akan mencukupi," katanya.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bertanya kepada Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad untuk mendapatkan "sebab sebenar" di sebalik keputusan Felda melabur sehingga hampir RM600 juta dalam sektor hospitaliti, dengan mengatakan syarikat perlu memaklumkan kepada peneroka yang berjumlah sejuta orang.

Isa mempertahankan pembelian hotel berkenaan dan mengatakan ia bukanlah isu luar biasa.
"Tabung Haji turut membeli beberapa unit bangunan di London," katanya.

Beliau turut berkata apartment berkenaan berada di kedudukan tertinggi dalam jaringan rangkaian enjin carian Google dan 75% adalah pembelian dalam talian.

The Grand Plaza adalah apartmen mewah terbesar di London yang mengandungi 198 unit meliputi 13 peringkat dengan keluasan lebih 105,044 kaki persegi.

Terletak berhampiran stesen keretapi bawah tanah Bayswater, ia mempunyai purata kadar diduduki sebanyak 90% setiap bulan.

Tiada ulasan: