Ahad, 10 November 2013

Sudah Tiba Masa Penggunaan Internet Ditapis - Tun Mahathir

MSTAR ONLINE

 
BANGI: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat sudah tiba masanya untuk isi kandungan Internet ditapis memandangkan ramai yang menyalahgunakan kemudahan itu.

Dr Mahathir berkata ini kerana, melalui Internet penyebaran fitnah, berita palsu dan bahan lucah tersebar dengan pantasnya tanpa disekat oleh mana-mana pihak.

"Jika dahulu kanak-kanak serta masyarakat muda tidak berpeluang melihat gambar serta video lucah tetapi dengan adanya Internet mereka dapat melihat di mana sahaja," katanya dalam ucapan semasa Majlis Konvokesyen Universiti Tenaga Nasional (Uniten) ke-16 di sini, Ahad.

Beliau berkata jika dahulu penyebaran gambar lucah hanya boleh dilihat melalui akhbar dan majalah dari luar negara, namun kemasukannya boleh disekat tidak seperti Internet yang digunakan berleluasa.

Tambah beliau penyebaran bahan lucah juga menyebabkan keruntuhan moral dalam kalangan golongan muda dan kanak-kanak serta meningkatnya kes rogol dan jenayah lain. Dr Mahathir juga tidak menafikan terdapat segelintir individu yang menggunakan Internet untuk belajar melakukan jenayah berat seperti membunuh serta merompak.

"Tidak dapat dinafikan bahawa akses kepada bahan lucah menyumbang perlakuan pelbagai jenayah yang dulunya tidak berlaku, kebanyakan gambar dan video yang tersebar juga memaparkan mengenai keganasan yang melampau dan ia mempengaruhi masyarakat," katanya.

Beliau berkata faktor ini juga boleh menyebabkan kestabilan dan keselamatan negara terancam, dengan memberikan contoh terdapat negara maju yang sistem keselamatan telah diceroboh akibat kebebasan berinternet.

Menurut beliau, walaupun semasa di peringkat awal penggunaan Internet kerajaan berjanji tidak akan menyekat penggunaannya, namun kini keadaan telah berubah dan penggunaan Internet berkembang dengan meluas. -BERNAMA

Tiada ulasan: