Harakahdaily, |
|
KUALA LUMPUR: “Pasca Pilihanraya Umum ke-13 yang lalu telah genap setahun saya dan pimpinan lain memegang tampuk kepimpinan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) bagi sesi 2012/2013,” ujar Safwan Anang.
Pengerusi SMM sesi 2012/2013berkata, kenyataan media itu dibuat bagi mengumumkan peralihan jawatan kepimpinan SMM kepada tampuk kepimpinan yang baru.
Katanya, umum perlu mengetahui bahawa SMM adalah gabungan daripada beberapa kesatuan mahasiswa bagi menghasilkan suatu ketumbukan mahasiswa yang lebih fokus terhadap sesuatu yang bersifat isu nasional malahan turut juga kepada isu global.
Beliau berkata, hasilnya keputusan kepimpinan SMM adalah diputuskan melalui kesepakatan semua ketua-ketua kesatuan mahasiswa yang bergabung ini.
Maka tidak hairanlah, jelasnya pemilihan SMM tidak melalui undi ahli-ahlinya.
“Uniknya pula SMM ini adalah apabila ia menjadi sebuah gabungan yang merentasi fahaman ideologi, agama, bangsa, bahkan fahaman politik sekalipun,” ujarnya.
Biarpun begitu, tambah beliau SMM adalah sebuah gerakan mahasiswa yang lebih mementingkan prinsip gerakan iaitu apa sahaja yang berkaitan dengan kepentingan rakyat lebih-lebih lagi mahasiswa dan anak muda maka SMM akan turut serta dalam isu berikut.
Sebagai contoh, katanya SMM adalah sebahagian daripada gabungan Bersih dalam menuntut pilihanraya yang bersih adil (walaupun diletak label agenda pembangkang) dan SMM juga terlibat dalam gabungan Bantah TPPA yang gabungannya adalah turut melibatkan NGO-NGO pro-kerajaan.
Terbaru pula, ujar beliau SMM dijemput untuk satu sidang meja bulat bersama Datuk Saifudin Abdullah selaku CEO-GMM (bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi).
Baginya, biarlah polemik itu terus berlaku tanpa henti asalkan kepentingan rakyat diutamakan.
Tambahnya, tugas berat dan mencabar pastinya menanti rakan-rakan aktivis kepimpinan SMM yang baru bahkan lebih-lebih lagi rakyat sedang bergelut dalam pelbagai isu terbaru seperti kenaikan harga minyak, kenaikan harga barang, pengenalan GST dan sebagainya.
“Sedang suasana di kampus pula berdepan dengan bahang pilihanraya kampus yang menyaksikan kebangkitan mahasiswa di beberapa kampus yang telah melalui fasa pilihanraya kampus lebih kurang seminggu yang lalu,” katanya.
Justeru, beliau kira masa ini adalah tepat untuk menyerahkan baton kepimpinan kepada kepimpinan baru SMM yang sudah semestinya akan lebih mengerti berkenaan situasi semasa yang memerlukan corak dan orientasi yang tersendiri.
“Kami berkeyakinan penuh terhadap kepimpinan baru ini akan dapat melunasi kehendak rakyat termasuk mahasiswa dalam jangka masa terdekat ini,” katanya lagi.
Pengerusi SMM bagi sesi 2013/2014 ialah Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM, Bukhairy Sufian; setiausaha, Tarmizi Anwar (Pro-Mahasiswa UPM); bendahari, Khair Sujud (Naib Presiden PKPIM) dan Setiausaha Media, Edikoup Lakip Sediyanto (Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan