Isnin, 18 November 2013

Setelah gagal tunai janji turun harga, hadkan pula jangka hayat kereta, dakwa Rafizi

THE MALAYSIAN INSIDER

 



Setelah memungkiri janji untuk menurunkan harga kereta, kerajaan Barisan Nasional (BN) menaikkan pula harga minyak dan kini  akan menghadkan jangka hayat kereta kepada 12 tahun sahaja.

"Ini akan menindas keluarga berpendapatan sederhana dan rendah serta menutup banyak perniagaan kereta terpakai," dakwa Rafizi Ramli (gambar), ahli Parlimen Pandan.

Beliau terkejut dengan kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi bahawa kerajaan akan menimbangkan untuk melaksanakan had jangka hayat kenderaan berikutan saranan oleh Ketua Pengarah Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bahawa kereta berusia 12 tahun ke atas adalah tidak selamat.

Lebih membimbangkan, kata Rafizi, apabila Abdul Aziz turut dilaporkan sebagai berkata bahawa keputusan menetapkan had jangka hayat kenderaan “perlu dibuat segera demi keselamatan rakyat”.

Bagi beliau, pelaksanaan had jangka hayat kenderaan kepada 12 tahun akan memangsakan beratus ribu rakyat Malaysia.

Ini kerana, kebanyakan pembeli kereta daripada keluarga berpendapatan sederhana dan rendah membuat pinjaman selama sembilan tahun untuk melangsaikan hutang.

"Dengan pelaksanaan had jangka hayat kenderaan ini, selepas tiga tahun keluarga-keluarga di Malaysia terpaksa membuat hutang baru untuk membeli kereta.

"Keadaannya lebih parah bagi pembeli daripada keluarga berpendapatan rendah. Kebanyakan mereka hanya mampu membeli kereta terpakai yang sudah pun berusia," kata Rafizi, Pengarah Strategi PKR dalam kenyataannya.

Bagi mereka yang meminjam untuk membeli kereta katanya, pelaksanaan had jangka hayat kenderaan bermakna kereta mereka dikira haram di sisi undang-undang dan tidak boleh digunakan sedangkan hutang masih belum dilangsaikan.

Bagi beliau, cadangan pelaksanaan had jangka hayat kenderaan adalah rentetan daripada tindakan-tindakan yang menekan rakyat sejak BN menang (dengan tipu helah) dalam PRU13.

Menurut Rafizi, pakar strategi daripada PKR itu, masalah utama bersabit pemilikan kereta di Malaysia pernah dilaporkan sebagai kedua termahal di dunia ialah struktur cukai dan pasaran domestik yang menyebabkan harga naik melambung.

"Wujudnya cukai eksais yang melebihi 100% ke atas kereta-kereta yang digunakan oleh keluarga berpendapatan sederhana dan rendah menyebabkan harga kereta terlalu mahal dan menenggelamkan keluarga dengan hutang kereta yang terlalu tinggi.

"Cukai eksais yang terlalu tinggi ini juga memberi ruang kepada syarikat-syarikat pengeluar dan pengedar kereta untuk bersembunyi di sebalik struktur cukai ini untuk mengambil keuntungan yang lebih tinggi berbanding di negara lain.

"Oleh kerana pelaksanaan cukai eksais dan pemberian rebat cukai eksais adalah tidak telus, maka struktur margin keuntungan di atas setiap kereta yang dibeli juga tidak telus,"katanya.

Akibatnya, dakwa beliau,  harga kereta di Malaysia terus kekal menjadi antara yang tertinggi di dunia.

Oleh itu kata beliau lagi, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menggariskan dasar-dasar automotif KEADILAN telah menegaskan bahawa langkah pertama merombak struktur harga kereta yang mahal di Malaysia perlulah bermula dengan menghapuskan cukai eksais yang melampaui batas itu.

\Apabila cukai eksais sudah tiada, barulah rakyat tahu bahawa jika harga tetap kekal tinggi bila dibandingkan dengan model yang sama di negara-negara lain, perbezaan harga itu berpunca daripada tindakan mengambil untung yang berlebihan oleh pengeluar dan pengedar kereta.

Hanya dalam keadaan pasaran kereta seperti ini barulah wujud persaingan sihat di antara pengeluar dan pengedar kereta yang boleh menurunkan harga kereta supaya setanding dengan negara lain bagi model yang sama, katanya.

"Maka, sebarang usaha untuk memperkenalkan had jangka hayat kereta sebelum cukai eksais dihapuskan akan ditentang habis-habisan.

"Dasar had jangka hayat kereta hanya boleh dilaksanakan setelah harga kereta di Malaysia turun setanding dengan model yang sama di negara lain," tegas beliau.

Tiada ulasan: