Rabu, 6 November 2013

Seramai 470,395 Calon Duduki SPM Hari Ini

MSTAR ONLINE

 
KUALA LUMPUR: Seramai 470,395 calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 di 3,616 pusat peperiksaan di seluruh negara bermula hari ini (Rabu) hingga 5 Disember depan.

Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan (KPM), daripada jumlah itu seramai 415,509 calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.

Sebanyak 8,054 calon pula dari sekolah di bawah agensi kerajaan selain KPM seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM); 8,325 calon Sekolah Menengah Agama Negeri; 11,261 calon sekolah swasta berdaftar dengan KPM; 22,857 calon sekolah persendirian; dan 1,389 calon Sekolah Menengah Agama Rakyat.

Di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Setiawangsa dan SMK Seksyen 5, Wangsa Maju di sini, tinjauan Bernama mendapati calon-calon membuat keputusan bijak untuk datang awal ke sekolah dan mengelak kesesakan lalu lintas.

Terdapat juga beberapa calon yang dilihat mengambil kesempatan untuk membuat rujukan terakhir bersama rakan-rakan mereka sebelum menduduki peperiksaan.

Calon dikehendaki menduduki bilik atau dewan peperiksaan seawal 7.50 pagi bagi mendengar taklimat dan mengisi butiran maklumat diri di kertas jawapan, iaitu 10 minit sebelum peperiksaan bermula.

Hari ini, calon menduduki dua subjek iaitu Bahasa Melayu dan Pendidikan Seni Visual bagi calon yang mengambilnya.

Di KUALA TERENGGANU, seramai 22,483 calon SPM menduduki peperiksaan itu di 180 buah peperiksaan melibatkan 1,513 petugas di seluruh negeri, kata Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu Zakaria Hussien.

"Seramai 58 calon SPM merupakan Calon Berkeperluan Khas (CBK)...kita sediakan kertas peperiksaan khas mengikut keperluan calon ini dan peruntukkan lebihan masa setengah jam untuk mereka," katanya ketika ditemui pemberita di Sekolah Menengah Ibrahim Fikri di sini hari ini.

Menurutnya seramai 10 calon SPM menduduki peperiksaan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan seorang calon menduduki peperiksaan di Hospital Dungun.

Dalam perkembangan lain, Zakaria berkata seorang calon SPM, Mohd Nor Alif Harun, 17, yang mengambil jurusan automotif dari SMK Sultan Omar di Dungun meninggal dunia pagi ini setelah lima hari koma akibat kemalangan jalan raya.

"Beliau telah dimasukkan ke ICU (Unit Rawatan Rapi) pada Jumaat di HSNZ dan meninggal dunia pagi tadi," katanya.

Di JOHOR BAHARU, seramai 57,090 calon menduduki SPM di 382 pusat peperiksaan di seluruh Johor.

Pengarah Pelajaran Johor Mohd Nor A Ghani berkata daripada jumlah itu, seramai 51,170 calon adalah dari sekolah kerajaan, 2,836 calon dari sekolah swasta dan 751 calon dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), 121 calon Sekolah Menengah Agama Negeri dan 2,212 calon persendirian.

"Tahun ini, seramai sembilan calon yang menduduki peperiksaan SPM sebagai calon tahanan di Sekolah Menengah Integriti, Kluang dan seramai 19 calon di Sekolah Menengah Integriti, Muar. Mereka merupakan calon persendirian," katanya kepada Bernama.

Menurutnya sebanyak 290 sekolah kerajaan dan swasta terlibat dengan peperiksaan itu tahun ini dengan 3,682 petugas dilantik bagi memastikan kelancarannya.

Jabatan Pendidikan Johor juga membuat persediaan untuk menghadapi banjir sepanjang tempoh peperiksaan ini.

Tiada ulasan: