Sabtu, 30 November 2013

Seludup haiwan aktiviti menguntungkan, kenapa kementerian terbabit pejam mata?


okm lizard king


KUALA LUMPUR: Tindakan terhadap penyeludup haiwan liar, Anson Wong Keng Liang atau lebih popular dengan gelaran ‘Lizard king’ seakan melepaskan batuk di tangga sehingga menimbulkan banyak tanda tanya terhadap integriti pihak berkuasa terbabit.

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming pada sidang media di Ibu Pejabat Kebangsaan DAP hari ini meluahkan kebimbangannya mengenai kegiatan penyeludupan haiwan terancam yang boleh meraih pulangan atau hasil sehingga US$bilion setahun.

“Seekor kura-kura daripada spesis terancam boleh dijual sehingga US$25,000 di pasaran, cukup untuk menampung perbelanjaan sara hidup satu tahun,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, isu penyeludupan yang tidak diperiksa ini menimbulkan kebimbangan DAP terhadap kemungkinan berlakunya rasuah bagi membolehkan pihak tertentu meneruskan kegiatan menyeludup haiwan liar sehingga merosakkan reputasi negara di persada antarabangsa.

Kian Ming hari ini mengajukan beberapa pertanyaan terhadap Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, G Palanivel berkaitan pendedahan yang dibuat rancangan 101 East yang diterbitkan stesyen televisyen antarabangsa Al-Jazeera berjudul ‘The Return of the Lizard King’.

Antara lain beliau mempertikaikan kenapa Anson Wong tidak didakwa selepas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) membuat serbuan di premis milik Anson Wong di Teluk Bahang, Pulau Pinang dan memindahkan 50 ekor haiwan liar.

“Ketika Anson Wong ditahan pada Ogos 2010, komputer riba dan tiga telefon bimbitnya dirampas. Ini sepatutnya memberikan banyak maklumat penting mengenai aktiviti penyeludupannya termasuk kemungkinan ada orang dalamnya di Perhilitan. Apakah hasil siasatan tersebut?” ujar Kian Ming sambil menambah bahawa Anson Wong juga tidak disiasat berikutan kes penyeludupan individu upahannya, Sarah Sahondrarisoa yang ditahan di KLIA pada 2010.

Mengulas pendedahan Al-Jazeera, Kian Ming turut memberitahu media bahawa Perhilitan gagal melaksanakan tugas dengan baik apabila mendakwa ia sudah berkali-kali membuat pemeriksaan ke atas premis milik Anson Wong tetapi hanya membuat kenyataan media mengenai perkara itu hari ini berdasarkan maklumat yang sudah lapuk.

Wartawan Al-Jazeera mendedahkan dalam rancangan yang dirakam awal November itu bahawa syarikat Rona Wildlife, yang didakwa Perhilitan sebagai tidak ada kaitan dengan Anson Wong, masih menyimpan haiwan liar seperti ular sawa albino; dan pekerja di premis Rona Wildlife mengakui bahawa premis itu dimiliki Anson Wong.

Perhilitan juga mendakwa sudah menarik balik lesen operasi milik Anson dan isterinya, namun syarikat milik mereka iaitu Sungai Rusa Wildlife, CBS Wildlife dan Bukit Jambul Reptile Sanctuary masih beroperasi dan didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Justeru itu, Kiang Ming mendesak menteri bertanggungjawab mendedahkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Perhilitan selepas penahanan Anson Wong pada 2010.

“Bagaimana mungkin Anson Wong masih terus dibiarkan menjalan aktiviti menjual beli haiwan liar sedangkan lesennya sudah ditarik balik?” soal Kian Ming. – Roketkini.com

Tiada ulasan: