Isnin, 25 November 2013

Selangor akan bina lebih 15,000 unit rumah mampu milik sehingga 2021 - Exco

  Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
 
 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mampu menawarkan sekurang-kurangnya 15,251 unit rumah mampu milik kepada rakyat negeri ini, melalui 38 projek sehingga 2021, kata Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad.
 
Kesemua rumah itu akan mula dibuka untuk urusan jual beli setelah Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) mendapatkan permit iklan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
 
"LPHS hanya akan mula menawarkan kepada pembeli setelah sesuatu projek itu memperoleh Permit Iklan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)," katanya.
 
Iskandar turut memberitahu sidang DUN Selangor bahawa kira-kira 1,682 unit projek perumahan mampu milik siap dibina di kawasan Bukit Botak, Selayang, Bandar Baru Bangi dan Sungai Long, Kajang dengan harga jualan bermula RM60,000 hingga RM99,000 seunit.
 
"Pecahan serta kedudukan 1,682 unit projek perumahan mampu milik yang telah siap dibina adalah terdiri daripada Bukit Botak, Selayang mempunyai 1,422 unit dengan harga jualan RM99,000 seunit berkeluasan 850 kaki persegi hingga 2,200 kaki persegi.
 
"Projek kedua adalah di Seksyen 3 Bandar Baru Bangi yang dibina sebanyak 124 unit berkeluasan di antara 700 hingga 800 kaki persegi dan dijual pada harga RM60,000 hingga RM90,000 seunit. 
 
"Manakala baki 136 unit lagi terletak di Bandar Sungai Long, Kajang," jelas Iskandar.
 
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan ADUN Gombak Setia, Hasbullah Mohd Ridzwan mengenai jumlah rumah mampu milik yang telah dibina dan sedang dibina melalui program Rumah Mampu Milik oleh kerajaan negeri.

Tiada ulasan: