Jumaat, 22 November 2013

'Sejak 2008, PM dan Rosmah tak naik MAS'

 

 

Lawatan ke Qatar-UAE bukan tindakan pertama yang menyaksikan isteri perdana menteri Datin Sri Rosmah Mansor menggunakan jet kerajaan tanpa penyertaan Datuk Seri Najib Razak, dakwa PKR.

NONE"Ini bukan kali pertama beliau lakukannya," kata Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, sambil berkata beliau  sedang mendapatkan lebih maklumat berhubung perkara itu.

Azmin (kanan) berkata, sumbernya dalam Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) mengesahkan, Rosmah dan Najib tidak pernah terbang menggunakan penerbangan negara sejak mengambil alih pentadbiran pada 2008.

Azmin yang juga anggota Parlimen Gombak berkata, lawatan itu menimbulkan dua persoalan, iaitu kelayakan isteri perdana menteri menggunakan jet kerajaan dan sama ada beliau boleh menggantikan kerajaan dalam urusan rasmi.

Semasa lawatan antara 10 hingga 14 November, Rosmah antaranya bertemu dengan perdana menteri Qatar bagi menyampaikan undangan Najib supaya beliau melawat negara ini semasa program Tahun Melawat Malaysia 2014.

"Ini bukan peranan isteri perdana menteri. Sebarang undangan daripada perdana menteri sepatutnya disampaikan oleh menteri luar  atau perdana menteri sendiri. Jadi di mana menteri luar sekarang?"

Rosmah sebelum ini, apabila ditanya berhubung penerbangannya ke Qatar menggunakan jet yang dibiayai kerajaan, dilaporkan berkata, beliau hanya melakukan kerjanya.

Beliau juga dilapor enggan mengulas lanjut.

Manakala pegawai khasnya Siti Azizah Sheikh Abod berkata, lawatan ke Qatar itu dibuat demi kepentingan negara dan bukan atas sebab-sebab peribadi.

Tiada ulasan: