Rabu, 13 November 2013

Sebutan kes ‘Blackout 505′ Nik Nazmi ditetap 10 Disember

KEADILAN DAILY


 PETALING JAYA : Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menetapkan sebutan semula kes ‘Blackout 505′ Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad pada 10 Disember depan.

Nik Nazmi

 Perkara itu diputuskan Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz hari ini.

Peguam Eric Paulsen berkata, pihaknya memfailkan satu notis rayuan di Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 8 November lalu dan kini sedang menunggu keputusan berhubung perkara itu.

“Pihak kami juga akan memfailkan satu permohonan untuk penggantungan perlaksanaan agar prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan bagi proses di Mahkamah Rayuan,” katanya dipetik ABN News.

Pada 17 Mei lepas, Nik Nazmi, 31, didakwa gagal memaklumkan kepada Ketua Polis Daerah Petaling Jaya dalam tempoh 10 hari sebelum penganjuran program ‘Blackout 505′ di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Stadium MBPJ, Kelana Jaya di sini, kira-kira 8.30 malam, 8 Mei lepas.

Nik Nazmi mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan terhadapnya mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 9(5) akta sama, membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 jika sabit kesalahan.

Tiada ulasan: