Jumaat, 15 November 2013

SB perlu bebas dari manipulasi politik

KEADILAN DAILY



Setelah berkali-kali kerajaan mengelak dari menjawab dan selepas saya membuat pendedahan dalam Parlimen minggu lepas, akhirnya Ketua Polis Negara (IGP) Khalid Abu Bakar sendiri telah menjawab bahawa jumlah pegawai Cawangan Khas (SB) dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) ialah 10% daripada 115,000 anggota polis iaitu seramai 11,500 orang. (http://www.sinarharian.com.my/semasa/hanya-ada-10-peratus-sb-dalam-pdrm-1.218596).

Jumlah sebenar SB: siapa betul siapa salah, IGP atau laporan kewangan kerajaan?

Pertama sekali, jumlah tersebut adalah lebih ramai daripada yang dinyatakan dalam Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2014 di mana, di bawah aktiviti “Risikan keselamatan” di bawah PDRM, SB berjumlah 8,916 orang. Jadi, yang mana satu benar, 11,500 mengikut IGP atau 8,916 mengikut laporan kewangan kerajaan? Berapa ramai SB yang kita ada pada masa kini?

PDRM perlu menjawab kepada pembayar cukai bukan hanya parti politik

Keduanya, walaupun saya menyokong penuh perlaksanaan tugas PDRM dengan professional, namun saya tidak bersetuju dengan nada kenyataan IGP bahawa “biar kami yang tentukan” tentang hal ehwal dalam PDRM.

PDRM sebagai penjaga keselamatan rakyat perlu telus kepada rakyat, selaku pembayar cukai.
Masalahnya kini, unit SB begitu dirahsiakan sehinggakan jumlah pegawai pun tidak diberikan kepada Parlimen.

Salahguna kuasa SB oleh kerajaan direkod oleh Suruhanjaya Diraja Polis Tun Dzaiddin

polis

Kerahsiaan tentang SB telah menimbulkan kebimbangan bahawa jumlah dan sumber SB yang kian meningkat selepas PRU ke-12 pada 2008 disalahgunakan oleh kerajaan untuk menentang ahli politik dan unsur-unsur yang tidak sehaluan dengan mereka.

Malah, mengikut laporan Suruhanjaya Diraja Polis Tun Dzaiddin 2005, terdapat pelbagai aduan terhadap SB termasuk dakwaan penderaan dan layanan yang menghina oleh SB terhadap tahanan ISA dan juga manipulasi SB oleh parti pemerintah untuk kepentingan politik (Laporan Tun Dzaiddin seksyen 2.11.2, m/s 316 versi Bahasa Inggeris).

Kuasa Perdana Menteri terlalu besar – SB hanya jawab kepada Perdana Menteri

Mengikut laporan Suruhanjaya Diraja Polis Tun Dzaiddin lagi, tiada sebarang peruntukkan undang-undang untuk mengawasi fungsi, kuasa dan tanggungjawab SB. Tiada sebarang definasi terhadap maksud “risikan keselamatan” dan kuasa-kuasa yang ada pada SB.

Unit tersebut hanya dikawal oleh suatu “piagam” (charter) yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri dan malah Suruhanjaya Diraja Tun Dzaiddin pun tidak dibenarkan untuk mengakses piagam tersebut. Ini bermakna SB dikawal sepenuhnya oleh seorang individu sahaja, iaitu Perdana Menteri.

Justeru, timbul tanda tanya, secara puratanya SB memberikan lebih 1,000 laporan risikan setiap hari, adakah laporan-laporan ini semata-mata tentang isu yang mengugat keselamatan rakyat Malaysia atau mengugat kedudukan Perdana Menteri sebagai ahli politik?

Bebaskan SB dan PDRM dari cengkaman politik

Saya menyeru supaya semua pihak, termasuk pihak PDRM sendiri dan ahli-ahli politik dari Umno Barisan Nasional supaya bersama-sama saya menggesa Perdana Menteri membebaskan unit SB dan PDRM secara amnya dari cengkaman politik demi mengembalikan maruah PDRM dan menjadikan polis kita lebih berwibawa dan professional melawan jenayah dan bukannya disalahgunakan untuk melawan musuh politik Perdana Menteri.

Steven Sim Chee Keong
Ahli Parlimen Bukit Mertajam
Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan, DAPSY Malaysia
Setiausaha Publisiti Negeri, DAPSY Pulau Pinang

Tiada ulasan: