Khamis, 14 November 2013

RM75 juta untuk mengurus Esscom

SINAR HARIAN


Datuk Seri Shahidan Kassim  
Datuk Seri Shahidan Kassim


KUALA LUMPUR - Peruntukan RM75 juta kerajaan bagi Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (Esscom) adalah khusus untuk perbelanjaan mengurus, persidangan Dewan Rakyat diberitahu, hari ini.
  
Dalam Bajet 2014, kerajaan menyediakan peruntukan tersebut bagi memantapkan lagi operasi Esscom.
  
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata peruntukan itu tidak termasuk untuk membina rumah di kawasan penempatan semula.
  
Katanya urusan pembinaan rumah di penempatan semula itu akan diuruskan oleh Jabatan Perumahan Negara, dan Esscom hanya mencadangkan tempat yang bersesuaian untuk membina rumah.
  
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Laksamana (B) Mohamad Imran Abdul Hamid (PKR-Lumut).

Mohamad Imran ingin mengetahui berapa banyak peruntukan disediakan untuk membina rumah (penempatan semula) sebagaimana dirancangkan kerajaan.
  
Sementara itu, menjawab soalan Datuk Datu Nasrun Datu Mansur (BN-Silam), Shahidan berkata sehingga kini kerajaan belum membuat sebarang keputusan untuk merobohkan kawasan perkampungan air di Parlimen Silam.
  
"Sebarang keputusan yang dibuat kerajaan berhubung perkara itu akan mengambil kira pelbagai aspek seperti kesejahteraan, keselesaan, kemudahan infrastruktur dan kesesuaian penempatan baharu," katanya.
  
Datu Nasrun ingin mengetahui berkenaan keputusan dibuat Esscom untuk merobohkan kawasan perkampungan air di Parlimen Silam dan adakah kerajaan mengkaji kesan perubahan demografi penduduk selepas berpindah. - Bernama

Tiada ulasan: