Nazri Deraman


KOTA BHARU - Badan Bukan Kerajaan Royalti (R) ingin menegaskan bahawa pihak R tidak terlibat sama sekali dengan isu yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab berkenaan satu kenyataan di dalam akaun Facebook bernama Listen Basikal Tua pada 11 November lalu.

Pihak pemilik laman Facebook tersebut telah pun membuat laporan polis pada awal pagi semalam, berikutan tersebarnya di dalam Internet berkenaan tulisan yang dikaitkan dengan beliau.

Presidennya, Nazri Deraman berkata, beliau menafikan bahawa kenyataan yang jelas menghina institusi Istana tersebut adalah daripada beliau dan menegaskan bahawa akaun Facebook beliau telah diceroboh.

Beliau menambah lagi bahawa beliau telah lama tidak membuka akaun facebook berikutan telefon bimbitnya hilang semasa menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia di Shah Alam yang lalu.

“Tujuan beliau membuat laporan polis tersebut adalah bagi membersihkan namanya, NGO R dan beberapa tokoh yang gambar mereka dimasukkan di dalam Facebook tersebut.

“Sehubungan dengan itu, saya mengecam segala tindakan yang berniat jahat yang cuba merosakkan nama baik Royalti (R)) dengan pihak Istana dan beberapa orang pimpinan yang dipaparkan di dalam akaun facebook tersebut,” katanya.