Khamis, 14 November 2013

PR sasar rampas 46 lagi kerusi BN untuk tawan Putrajaya pada PRU-14: Lim Kit Siang

lks orang asal


SUBANG JAYA: Berdasarkan persempadanan sekarang setiap parti komponen Pakatan Rakyat (PR) perlu menetapkan sasaran memenangi 45 kerusi bagi meraih majoriti 48 kerusi bagi menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Bagaimanapun, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, ia banyak bergantung kepada keputusan di 40 kerusi yang perbezaan undi tipis, termasuk 51 kerusi daripadanya berada dalam tangan Barisan Nasional (BN) dan 29 kerusi yang dimenangi PR.

“Kerusi yang dimenangi dengan perbezaan undi melebihi 55% pada PRU-13 dianggap kerusi selamat, bererti BN mempunyai 82 kerusi selamat dan PR pula dengan 60 kerusi selamat.

“Pada PRU-13, PR memenangi undi popular tetapi gagal menawan Putrajaya kerana BN berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan dengan kelebihan kerusi iaitu sebanyak 133 kerusi, berbanding 89 kerusi yang dimenangi PR,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam amal Pakatan Rakyat, di Empire Hotel Ballroom, Subang Jaya, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen DAP Gelang Patah berkata, jika PR memenangi 23 lagi kerusi pada PRU-13 lalu, PR akan membentuk majoriti mudah dengan 112 daripada 222 kerusi.

Katanya, pada PRU-14 nanti, selain mengekalkan 89 kerusi Parlimen yang sedia ada, PR perlu menggandakan sasaran iaitu merebut bukan setakat 23 tetapi 46 daripada 51 kerusi yang dimenangi BN dengan majoriti tipis agar PR boleh memenangi 135 daripada 222 kerusi Parlimen iaitu dengan majoriti 48 kerusi.

Beliau berkata, ini bermakna setiap parti dalam PR memiliki jumlah kerusi yang sama iaitu PKR, PAS, dan DAP, masing-masing perlu memenangi 45 kerusi Parlimen.

“Ketika ini, DAP mempunyai 38 Ahli Parlimen, PKR (30) dan PAS (21), bermakna DAP perlu mendapatkan tujuh lagi kerusi Parlimen, PKR pula 15 kerusi dan PAS 24 kerusi.

“Saya yakin sasaran ini berada dalam jangkauan, memandangkan PAS memenangi 27 kerusi Parlimen pada PRU 1999, ketika Barisan Alternatif baru dibentuk iaitu hampir empat kali ganda lebih banyak berbanding hanya tujuh kerusi yang dimenanginya pada PRU 1995,” katanya.

Menurut Kit Siang, pada PRU-14 nanti, PAS tidak perlu meningkatkan jumlah kerusinya sebanyak empat kali ganda, kerana ia cuma perlu meningkatkan bilangan kerusi kepada 45 daripada 21 kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU-13.

“Prestasi parti PR pada PRU 2008 dan 2013 menunjukkan ketiga-tiga parti komponen itu mempunyai kekuatan asas masing-masing. Jika kita sanggup terus memperjuangkan matlamat patriotik bersama, iaitu menyelamatkan negara ini daripada korupsi, kronisme, penyalahgunaan kuasa, eksploitasi golongan miskin dan tidak bernasib baik tanpa mengira kaum, agama, atau latar belakang, ekstremisme, serta sikap tidak bertolak-ansur, dan menggantikan semua itu dengan urus tadbir yang baik, integriti awam, kebertanggungjawaban, sikap hormat terhadap demokrasi dan hak asasi manusia, kesederhanaan dan toleransi, tiada sebab lagi rakyat tidak memilih PR untuk memerintah demi masa depan negara yang lebih cemerlang pada PRU-14 nanti.

Khamis lalu, bekas duta kanan negara, Tan Sri Razali Ismail mengingatkan bahawa Malaysia akan hilang kelebihan ekonominya jika politik terus dikuasai unsur perkauman yang melampau seperti yang sering dibangkitkan kawan-kawan dari luar negara kebelakangan ini berikutan timbulnya beberapa isu yang boleh menyebabkan perpecahan.

Kit Siang berkata, kenyataan Razali itu benar, kerana retorik dan politik ekstrem dan tidak toleran berada pada tahap paling mengejutkan dan memecah-belahkan dalam sejarah negara ini sejak enam bulan selepas PRU-13 walaupun Perdana Menteri bercakap mengenai penyatuan nasional dan mempromosikan Global Movement of Moderates.

“Pertarungan untuk PRU-14 sudah bermula dan beberapa pihak menyatakan kebimbangan bahawa wang pembayar cukai akan dirompak untuk mengisi tabung perang UMNO/BN bagi membiayai perang siber menerusi media sosial menentang PR.

“Selepas PRU-13 pada 5 Mei lalu, perang siber menentang parti PR tidak surut. Baru-baru ini saya dituduh sebagai anggota Illuminati, kononnya sebuah pertubuhan rahsia di peringkat dunia yang dianggotai beberapa elit berkuasa dan berpengaruh dan bertujuan menguasai dunia secara politik dan ekonomi.

“Setelah membaca tuduhan itu dalam blog Umno, saya terpaksa mencari maklumat di Internet mengenai perkara yang disebut sebagai konspirasi Illuminati itu,” tambahnya.

Beliau berkata, baru-baru ini, seorang wanita Melayu datang menegurnya di lapangan terbang ketika sedang menunggu beg dan dia meminta maaf.

“Saya hairan dan bertanya sebabnya. beliau kata, sepanjang 18 tahun pertama dalam hidupnya, beliau membenci saya sebagai seorang yang rasis dan jahat, kerana yang diberitahu saya anti-Melayu dan anti-Islam. Tetapi setelah beliau menerjunkan diri ke dalam masyarakat dan mendapat akses kepada maklumat, beliau sedar bahawa segala yang diberitahu mengenai saya sebelum ini tidak benar sama sekali,” katanya.

Menurut beliau, episod itu seharusnya menjadi sumber inspirasi kepada semua, sama ada dalam DAP, PKR atau PAS, kerana semuanya menjadi sasaran pembohongan dan pendustaan yang bertujuan memecah-belahkan parti dan kepimpinan PR.

“Revolusi maklumat akan membantu PR memerdekakan minda yang cuba diracuni dan dipasung oleh juru propaganda dan cybertrooper UMNO/BN.

“Parti dalam PR perlu terus teguh di atas jalan politik yang sedang ditempuh ini sehingga kita berjaya membawa perubahan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, daerah, atau kelas, demi mencapai Impian Malaysia bersama – Malaysia untuk semua rakyat Malaysia,” tambahnya.-Roketkini.com

Tiada ulasan: