Isnin, 25 November 2013

PKR yakin kes NFC akan dilepas seperti PKFZ

Oleh : NORHAYATI UMOR





SHAH ALAM  : Parti Keadilan Rakyat (PKR) yakin skandal Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) tidak akan dibicarakan secara serius dan menjadi seperti skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) apabila Bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik bebas daripada pertuduhan.

Naib Presiden PKR, N Surendran, menganggap perbicaraan kes itu dijalankan hanya kerana desakan pembangkang yang mahu pencuri dana rakyat dihukum.

surendran

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes berkenaan apabila Pengerusi Eksekutif NFC, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail gagal dalam permohonannya untuk membatalkan dua pertuduhan pecah amanah membabitkan RM49.7 juta yang dihadapinya, baru-baru ini.

“Saya mengalu-alukan keputusan itu dan yang penting di sini bahawa tuduhan berkenaan dilakukan disebabkan tekanan pembangkang.

“Jadi, kita minta pendakwaan dapat dijalankan bagi memastikan keadilan dilakukan dan pesalah tidak terlepas seperti yang berlaku dalam banyak kes antaranya PKFZ,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, semalam.

Beliau berkata, kes skandal itu akan dilepaskan kerana keengganan Barisan Nasional (BN) menghukum pemimpinnya yang terbabit dalam kes penipuan dana rakyat.

Katanya, hal itu dibuktikan dengan pengekalan isteri Mohamad Salleh, Datuk Seri Shahrizat Jalil sebagai Ketua Wanita Umno.

Baru-baru ini, Hakim Mahkamah Sesyen Norsharidah Awang menolak permohonan Mohamad Salleh selepas mendapati pertuduhan yang dihadapi tertuduh tidak cacat dan mempunyai asas untuk didengar melalui proses perbicaraan dan mahkamah menetapkan dua hari, bermula 20 Januari 2014 untuk perbicaraan kes itu.

Pada 12 Mac 2012, Mohamad Salleh, selaku pengarah syarikat NFCorp didakwa melakukan pecah amanah RM9,758,140 untuk membiayai sebahagian pembelian dua unit kondominium dan memindahkan RM40 juta ke dalam akaun syarikat National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd, pada 2009.-NFN-

Tiada ulasan: