PKR: Timbalan berpeluang jadi presiden


SHAH ALAM - Konvensyen Nasional PKR hari ini akan menerima usul mengenai pemberian kuasa penuh kepada timbalan presiden dan naib presiden untuk menggantikan jawatan tertinggi parti itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew berkata, perlembagaan mengenai kekokosongan presiden akan dibahas dan dipinda.

Menurutnya, timbalan dan naib presiden tidak perlu menjadi pemangku yang bersifat sementara sebaliknya berkuasa penuh untuk melancarkan pentadbiran.

"Pindaan perlembagaan ini dicadangkan supaya jawatan timbalan dan naib presiden tak perlu lagi jadi pemangku bertujuan untuk beri kuasa penuh agar senang jalankan tugas mereka berbanding pemangku yang bersifat sementara," katanya dalam Taklimat Latar Belakang Pindaan Perlembagaan, di sini, hari ini.

Cadangan yang diberikan pada fasal 14.5 dan 14.6 dengan pindaan kepada fasal 12.12 ialah, apabila berlaku kekosongan dalam jawatan presiden, maka timbalan presiden akan mengisi kekosongan itu.

Manakala bagi cadangan fasal 21.13 iaitu jika berlaku kekosongan dalam jawatan timbalan, maka Majlis Tertinggi Pusat boleh melantik salah seorang naib presiden untuk mengisi kekosongan itu.

Selain itu, fasal 21.4 yang dicadangkan juga jika berlaku kekosongan dalam jawatan naib presiden yang dipilih menurut fasal 21.4, maka Majlis Pimpinan Pusat boleh melantik mana-mana Ahli Majlis Pimpinan Pusat untuk memenuhkan kekosongan itu.