Nurul Izzah Anwar  
 
NURUL IZZAH ANWAR


KUALA LUMPUR - PKR akan tetap menghantar surat bantahan mengenai kenaikan cukai taksiran kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) walaupun pelaksanaannya ditangguhkan.

Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar berkata, pihaknya akan membentuk semua komuniti bagi meneruskan desakan dan bantahan secara berkelompok agar kenaikan itu dinilai semula.

“Kami akan bersama penduduk dan ahli PKR untuk menandatangani surat bantahan bagi menunjukkan tanda protes,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, kelmarin.
Izzah berkata, kesemua surat bantahan tersebut akan dihantar 16 Disember ini kepada DBKL.

Sebelum ini, pihak DBKL mengeluarkan notis kenaikan cukai taksiran mencecah 300 hingga 500 peratus dengan alasan tidak dinaikkan selama 21 tahun.

Kelmarin, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Dr J Loga Bala Mohan, berkata, kerajaan akan menangguhkan pelaksanaan kenaikan cukai pintu DBKL sehingga selesai sesi pendengaran bantahan pada Mac tahun depan.

Katanya, warga kota boleh mengemukakan bantahan dan aduan hingga 17 Disember ini.