Petronas diminta perjelas maksud 'tak layak' 
 
Muka depan Sinar Harian hari ini

PETRONAS perlu memberi penjelasan apa kriteria yang digunakan syarikat minyak negara itu untuk mengukur kelayakan syarikat vendornya sebelum menggunakan alasan 'tidak layak' untuk menolak memberi kontrak kepada syarikat Melayu.

Pengarah eksekutif sebuah syarikat yang pernah menyediakan perkhidmatan kepada Petronas mendakwa, terdapat syarikat Bumiputera dan Melayu yang diiktiraf negara dan syarikat luar tetapi diketepikan daripada menerima kontrak Petronas.

“Kenapa negara lain seperti Jepun, Arab Saudi dan syarikat minyak antarabangsa yang mempunyai kedudukan lebih tinggi daripada Petronas boleh bagi projek kepada syarikat Malaysia tetapi kenapa Petronas tak bagi?

“Ada syarikat Melayu yang dapat anugerah dari luar negara kerana teknologi yang dicipta untuk industri gas dan minyak ini sangat bagus, tetapi bila mereka mohon untuk sertai program pembangunan vendor (VDP), ditolak Petronas. Jadi kelayakan macam mana yang diperkatakan?,” soalnya.

Beliau juga berkata, tempoh lima tahun di bawah VDP Petronas terlalu singkat dan syarikat perlu diberikan tempoh lebih lama.

“Lima tahun itu seolah-olah kita baru dapat rentak, tiba-tiba kita perlu berhenti. Tetapi saya tidak lah kata syarikat Bumiputera perlu duduk di bawah program itu selama-lamanya.

“Kalau langsung tidak ada tempoh akhir, nanti syarikat jadi terlalu selesa dan tidak cekap. Apa yang kami mahu adalah tempoh minimum 10 tahun diberikan kepada peserta VDP,” katanya.

Beliau berkata, Petronas boleh menamatkan penyertaan syarikat Bumiputera dalam VDP lebih awal dari 10 tahun jika mereka tidak mencapai tahap diperlukan, tidak mengikut peraturan atau berhadapan masalah lain.

Menurutnya, jika isu ini tidak diselesaikan, beliau bimbang syarikat Bumiputera (dalam sektor minyak dan gas) akan terkubur.

“Walaupun ada antara kami (bekas vendor Petronas) masih boleh bertahan dengan mempelbagaikan perniagaan dan memasuki bidang selain minyak dan gas, kami tetap rasa perit untuk pertahankan perniagaan.

“Tetapi kita pun tidak boleh hanya kata Petronas sahaja perlu mainkan peranan untuk selesaikan isu ini. Vendor sendiri perlu ada usaha untuk majukan perniagaan tetapi kami perlukan tunjuk ajar dan sokongan Petronas,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga perlu menetapkan peraturan untuk melindungi syarikat tempatan dan memantau pelaksanaan undang-undang yang telah ditetapkan.