Ahad, 10 November 2013

Peruntukan hampir RM1 juta hadapi banjir di T'ganu

 

 
 
Kerajaan persekutuan dan negeri memperuntukkan hampir RM1 juta sebagai persediaan menghadapi bencana banjir di negeri ini pada musim tengkujuh ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Mohd Mahdi Musa berkata jumlah itu tidak termasuk bekalan bahan mentah untuk memasak makanan bagi mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan.

"Terengganu telah mewujudkan 118 pangkalan hadapan dan 437 pusat pemindahan banjir yang dijangka mampu memuatkan sehingga 63,172 orang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau depoh simpanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menempatkan barang-barang bantuan banjir di Pulau Kerengga di Marang hari ini.

Mohd Mahdi berkata kira-kira 100 jenis barangan keperluan harian disediakan bagi menampung keperluan mangsa banjir, antaranya kit peralatan membersihkan diri seperti ubat gigi, berus gigi dan sabun, tikar, selimut, pakaian dan bahan makanan kering.

Sementara itu, di BESUT, seramai 606 anggota dari Jabatan Kesihatan dan sukarelawan JKM negeri diletakkan dalam keadaan bersiap sedia bagi menghadapi banjir tahun ini.

Bilangan itu terdiri daripada 384 anggota Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu melalui penubuhan 96 pasukan khas dan 222 anggota sukarelawan JKM, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu Datuk Dr Anwa Sulaiman dan Pengarah JKM Negeri Zuhaimi Omar.-Bernama

Tiada ulasan: