Isnin, 18 November 2013

Perkauman alat selindung aktiviti rasuah pemimpin, kata bekas Naib Canselor UM

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK & TRINNA LEONG





Isu perkauman digunakan oleh sesetengah ahli politik di Malaysia bagi melindungi kegiatan rasuah yang dilakukan pemimpin terbabit, kata bekas Naib Canselor Universiti Malaya Tan Sri Dr Ghauth Jasmon (gambar).

Beliau berkata isu perkauman juga dimainkan bagi melindungi salah laku selain mengelak mereka yang terlibat daripada dituduh atas aktiviti tidak bermoral itu.

"Jika negara dipenuhi dengan pemimpin rasuah, mereka akan menggunakan isu perkauman untuk melindungi kesalahan bagi menarik perhatian.

"Adalah penting kita memisahkan manusia dengan politik. Di Malaysia, kita selalu diingatkan oleh ahli politik tentang masalah perkauman malah terdapat juga kumpulan tertentu yang menyokong isu tersebut," katanya semasa ucaptama Persidangan Asia Barat dan Afrika 2013 di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata kerajaan harus menyisihkan pemimpin yang mengamalkan rasuah agar agenda pembangunan negara tidak tergendala selain mengakibatkan kerugian perbendaharaan negara.

Katanya, jika negara dipenuhi ahli politik yang rasuah, ia adalah resipi kehancuran.

"Saya fikir kita perlu mengenal pasti pemimpin darpadai parti, kumpulan mahu pun latar belakang agama supaya mereka tidak menggunakan isu lain bagi melindungi kegiatan mereka.

"Namun apa yang unik di Malaysia adalah orang Melayu mempunyai kuasa politik manakala kaum Cina memiliki kuasa ekonomi. Saya melihat ada keseimbangan di sini kerana jika ada sesuatu kaum memiliki kuasa ekonomi dan politik secara serentak maka tidak berlaku keseimbangan di situ," katanya.

Ghauth turut melihat kaum Cina merupakan kumpulan yang ‎akan mencipta kemewahan di mana sahaja mereka berada seperti di Sri Lanka, Sudan dan kebanyakan tempat di dunia.

Katanya, orang Cina semasa datang ke Malaysia dalam keadaan miskin dan sehelai pinggang tetapi hari ini mampu menguasai ekonomi Malaysia

Tiada ulasan: