Rabu, 20 November 2013

Perkasa tak sesuai buka cawangan di Sarawak

 
Kita tidak menghalang kedatangan mana-mana ahli dari pertubuhan ini mahupun Presidennya Datuk Ibrahim Ali ke Sarawak sebagai pelancong. 




KUCHING: Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) dilihat tidak sesuai untuk meluaskan pengaruhnya di negeri ini atas dasar saling menghormati masyarakat majmuk di Sarawak.

Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing (gambar) menegaskan perkara itu ketika mengulas kenyataan Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali yang bercadang untuk meluaskan sayap pertubuhan Perkasa di Bumi Kenyalang ini.

“Bagaimanapun, kita tidak menghalang kedatangan mana-mana ahli dari pertubuhan ini mahupun Presidennya Datuk Ibrahim Ali ke Sarawak sebagai pelancong.

“Tetapi, mereka diingatkan agar tidak menyimpan niat untuk meluaskan polisi Perkasa di sini (Sarawak),” tegasnya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Persidangan Hari Pertama Mesyuarat Kedua bagi Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-17 di Bangunan DUN Sarawak di sini semalam.

Menerusi laman sosial yang dikeluarkan semalam, Perkasa membuat kenyataan bahawa pertubuhan itu mahu melebarkan cawangannya ke negeri ini dengan alasan untuk melindungi hak Bumiputra selepas mendakwa mempunyai 45,000 ahli di Sabah.

“Memandangkan Perkasa di Sabah adalah sangat aktif, kami berharap untuk mendapatkan sokongan yang sama daripada rakyat Sarawak,” kata Syed Hassan Syed Ali.

Tiada ulasan: