Jumaat, 15 November 2013

Perkasa persoal cubaan larang Ibrahim Ali ke Sabah

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK























Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mempersoalkan desakan Pengerusi Angkatan Perubahan Sabah (APS) Keningau Paul Kadau bagi menghalang Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali (gambar) untuk merasmikan persidangan tahunan (AGM) Perkasa Sabah.

Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali berkata, Ibrahim tidak akan merasmikan AGM Perkasa Sabah kerana presiden pertubuhan itu terdahulu dijemput untuk merasmikan AGM Wilayah Persekutuan pada tarikh sama AGM Sabah iaitu pada 24 November.

“Tidak kurang dua kali setahun Ibrahim ke Sabah sejak 2009. Adakah berlaku apa-apa yang tidak diingini di Sabah? Adakah beliau mengajak ahli Perkasa Sabah membakar Bible? Membuat huru-hara?

“Setiap kali Ibrahim ke Sabah hanya jika ada program Perkasa Sabah yang menjemput beliau merasmikan acara. Beliau juga tidak pernah mengadakan perjumpaan dengan mana-mana pihak yang cuba menyerang Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syed Hassan memaklumkan Perkasa Sabah kini mempunyai lebih kurang 45,000 ahli sejak 2009 dan tidak pernah bermusuh dengan penganut Kristian Sabah malah mengalu-alukan mereka bersama dalam Perkasa untuk mempertahankan kepentingan kaum Bumiputera.

Katanya, ahli Perkasa Sabah yang terdiri daripada penganut Kristian bilangannya agak ramai kerana keahlian Perkasa dibuka kepada semua rakyat Malaysia berstatus Bumiputera.

“Perjuangan Perkasa di Sabah lebih kepada mempertahankan kepentingan hak Bumiputera Sabah yang rata-rata masih mundur berbanding kaum lain yang memonopoli ekonomi Sabah walaupun mereka tidak ramai di sana,” katanya.

Media melaporkan hari ini Paul menggesa Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman menggunakan kuasa eksekutifnya bagi menghalang Ibrahim ke Sabah kerana menurutnya rata-rata warga Sabah tidak menyenangi kehadiran Ibrahim ke sana.

Katanya, cadangan untuk menghalang Ibrahim akan dikemukakan melalui satu surat bantahan kepada kerajaan Sabah dan melalui wakil rakyat di kawasan mereka.

Paul berkata larangan itu bagi memastikan keselamatan, perpaduan dan keharmonian semua kaum di Sabah terpelihara ekoran sikap kurang sensitif Ibrahim ketika membangkitkan isu kalimah Allah dan tentangannya terhadap penggunaan kalimah itu dalam Al-Kitab menjadi sebab mengapa beliau harus diharamkan masuk ke Sabah.

“Kami tidak mahu beliau datang ke Sabah dan mengajar anak-anak kami dengan budaya benci-membenci,” katanya.

Tiada ulasan: